Hanya beberapa jam selepas mengumumkan nama peguam Mohamad Sofee Razak sebagai calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Serai di Kedah, Pakatan Harapan (PH) membuat pertukaran pada saat akhir.
Wartawan dimaklumkan mengenai pertukaran itu melalui grup WhatsApp PKR Kedah kira-kira jam 1 pagi tadi.
Dipercayai calon baru - Shamsul Anuar Abdullah - dipilih berikutan kekecohan membabitkan PKR Padang Serai yang tidak berpuas hati dengan pilihan sebelum ini.
Shamsul berasal dari cabang PKR Padang Serai.
Sebelum ini, nama bekas ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff turut dikaitkan sebagai calon bagi PRK berkenaan.
Malam tadi, Timbalan Presiden PH Salahuddin Ayub mengumumkan pencalonan Mohamad Sofee di Taman Selasih di Kulim.
Mohamad Sofee ialah setiausaha PH Kedah dan PKR Kedah.

Turut hadir Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar, Adun Bukit Selambau R Summugam, Ketua Amanah Padang Serai Abdul Razak Salleh dan veteran kesatuan sekerja Abdullah Sani.
PRK Padang Serai diadakan berikutan kematian bekas penyandangnya, M Karupaiya, pada 16 Nov, tiga hari sebelum pilihan raya umum ke-15.
Karupaiya merupakan ahli PKR.
Suruhanjaya Pilihan Raya kemudiannya menetapkan 7 Dis sebagai tarikh pengundian bagi kerusi Padang Serai.
Pencalonan akan diadakan esok di Kompleks Sukan Kulim Hitech.
