Kekal tenang, Allah merancang - Hadi Awang
Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Abdul Hadi Awang hari ini meminta supaya penyokong parti itu untuk kekal tenang kerana pimpinan parti sedang mengusahakan sesuatu.
Katanya, PN "masih di hadapan".
"Kekal tenang. Kita sedang usahakan. Kita masih di hadapan.
"Mereka merancang. Allah merancang. Kita di pihak yang benar. Insya-Allah kita terpelihara, negara terpelihara," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Presiden PAS dipercayai merujuk usaha gabungan PN untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.
PN menerima tamparan apabila Umno, awal pagi tadi memutuskan untuk menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan dipimpin oleh gabungan itu.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan selepas selesai mesyuarat majlis kerja tertinggi (MKT) khas parti itu yang berlangsung selama lima jam, malam tadi berkata mereka sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan diterajui oleh PN.
Tindakan itu bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk, katanya.
Selain itu, kata Ahmad, MKT Umno juga bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi parlimen pada PRU ke-15 lalu mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Agong.

Pada PRU15, PAS menang 49 kerusi Parlimen, tertinggi bagi mana-mana parti sekali gus membolehkan PN meraih 73 kerusi.
Pakatan Harapan (PH) pula menang 82 iaitu gabungan yang mendapat kerusi tertinggi.
Bagaimanapun, tidak ada gabungan yang mendapati kerusi mencukupi untuk majoriti mudah 112 kerusi bagi dapat membentuk kerajaan.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula menang 23 daripada 31 kerusi parlimen di negeri itu, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang di enam kerusi di Sabah. Warisan menang tiga kerusi.
Hari ini, mesyuarat khas Raja-Raja Melayu sedang berlangsung di Istana Negara bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong mendapatkan pandangan mengenai pelantikan perdana menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru menunjukkan PH mungkin bergabung dengan BN yang menang 30 kerusi untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selaras yang disarankan Yang di-Pertuan Agong.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/c8af69ae40949b1caa0f9db7cdf9e3a2.jpg)
