Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agong titah PM, kerajaan baru ikut resmi padi
Diterbitkan:  Nov 24, 2022 7:26 AM
Dikemaskini: 7:26 AM

Perdana menteri dan kerajaan baru Malaysia diperingatkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar kekal merendah diri serta meniru resmi padi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata pesanan itu disampaikan oleh baginda selepas memperhalusi titah pandangan raja-raja Melayu yang bersidang di Istana Negara hari ini.

"Seri Paduka mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua.

"Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.

"Seri Paduka turut berpesan kepada perdana menteri dan kerajaan baru baginda yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi: semakin berisi semakin tunduk," katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dijadual mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada jam 5 petang ini di Istana Negara.

Pelantikan itu berdepan dengan pelbagai liku selepas PH - yang menjadi pemenang utama PRU ke-15 pada Sabtu lalu - gagal mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat.

BN yang hanya memperoleh 30 kerusi kemudian menjadi penentu dan melalui pelbagai proses akhirnya PH mendapat sokongan majoriti dan membentuk kerajaan perpaduan yang disarankan Agong.

Ahmad Fadil berkata pelantikan Anwar itu dibuat selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Mahu kerajaan stabil

Katanya, Al-Sultan Abdullah juga bertitah, negara ini umpama harta pusaka dan para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

Justeru, katanya, negara ini perlu dijaga dengan sebaik mungkin kerana ia bakal diwarisi oleh generasi kemudian.

"Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara.

"Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," kata Ahmad Fadil.

Tambahnya, Agong turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan aja-raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab baginda selaku raja berpelembagaan.

"Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda bagi membentuk kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan PRU ke-15 menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam," katanya.

Lihat Komen
ADS