Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adakah Anwar akan hulur tangan pada PN tangani perpecahan pengundi?

Selepas pilihan raya umum (PRU) sengit tanpa pemenang yang jelas dan lima hari ketidaktentuan politik, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.

Walaupun Anwar dijangka menerajui kerajaan perpaduan, negara ini amat berpecah dengan ketegangan yang memuncak antara penyokong PH dan Perikatan Nasional (PN).

Penyokong PN dituduh menyebarkan klip video yang dikatakan menimbulkan kegentaran di TikTok, termasuk amaran tentang berulangnya rusuhan 13 Mei.

Pengumuman istana bahawa Anwar akan menjadi perdana menteri hari ini nampaknya akan meresahkan lagi penyokong PN yang mendakwa bahawa Islam akan terjejas bawah pentadbiran presiden PKR itu.

Ini seterusnya mengundang penyokong PH tampil menolak dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai ancaman kepada keamanan dan keharmonian dalam negara berbilang kaum dan agama.

Menurut penganalisis politik Bridget Welsh, PH hanya meraih sekitar 11 peratus sokongan Melayu, manakala PN meraih kira-kira 54 peratus.

Baki 35 peratus diraih sekutu kerajaan perpaduan PH, iaitu BN.

Welsh, yang ditemu bual stesen radio BFM petang tadi, juga menganggarkan bahawa PN - yang disifatkannya sebagai gabungan paling konservatif - memenangi sebahagian besar undi golongan muda Melayu.

Dengan latar belakang ini, sangat penting untuk Anwar menghulurkan tangan kepada PN untuk kestabilan politik dan negara.

Selain meredakan ketegangan, beberapa bentuk kerjasama antara PH dan PN boleh menyelamatkan kerajaan diterajui Anwar daripada terjejas oleh protes dan serangan dalam talian daripada unsur konservatif yang dihadapi oleh pentadbiran PH sebelum ini.

Welsh menyatakan dalam temu bualnya bahawa PH bertindak dengan pemikiran pembangkang pada 2018 dan bukannya membaiki hubungan, turut menyumbang kepada kejatuhan akhirnya pada 2020.

Bekas ahli parlimen Bangi Ong Kian Ming dalam satu kenyataan hari ini berkata realiti bahawa ramai orang Melayu memilih PN sebagai alternatif mereka kepada Umno tidak boleh diabaikan.

Bekas ahli parlimen Bangi Ong Kian Ming

Sekurang-kurangnya dua pilihan tersedia untuk Anwar menghampiri PN.

Pilihan 1: PN dalam kerajaan

Yang pertama ialah membawa PN ke dalam kerajaan perpaduan yang diterajuinya - yang bermakna tiada pembangkang.

Ini, bagaimanapun, akan menimbulkan masalah kepada ikrar Anwar untuk mempunyai kabinet yang lebih kecil jika terpaksa melayan permintaan terlalu banyak pihak untuk jawatan menteri.

Gabungan yang terlalu luas dengan pelbagai perbezaan ideologi juga boleh menjadi penghalang kepada rancangan Anwar dan PH untuk melaksanakan pembaharuan.

Anwar juga berisiko memprovokasi sokongannya akar umbinya sendiri - yang memandang PN dan komponennya PAS terutamanya, sebagai ancaman langsung kepada nilai mereka.

Tambahan pula, tanpa pembangkang, tiada semak dan imbang yang berkesan terhadap kerajaan kerana mereka yang berada dalam kerajaan akan mempunyai kepentingan untuk tidak terlalu kritikal terhadap dasar kerajaan.

Pilihan 2: CSA

Pilihan kedua Anwar mungkin lebih berhati-hati - dengan mendapatkan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan PN.

Ini akan memastikan sokongan terhadap rang undang-undang fiskal dan kestabilan politik sambil membolehkan PN masih berfungsi sebagai pembangkang yang akan mengkritik kerajaan.

Perjanjian sedemikian mungkin termasuk beberapa pembaharuan atau ikrar daripada manifesto pilihan raya PN yang sejajar dengan cita-cita PH.

Ong mencadangkan agar PN juga diberi peruntukan kawasan yang sama rata, serta ahli parlimen mereka mengetuai antara satu pertiga dan separuh daripada jawatankuasa pilihan Parlimen.

Bagi PN, bersetuju dengan beberapa bentuk kerjasama dengan Anwar akan memberi gambaran bahawa ia menghormati hasrat Yang di-Pertuan Agong, yang menyeru semua ahli parlimen untuk bekerjasama demi negara.

Ini akan membantu menangkis tuduhan bahawa ia telah menderhaka kepada Agong dengan pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan apabila pengerusinya Muhyiddin Yassin bertemu dengan Agong.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin

Ia juga akan menyelamatkan PN daripada kehilangan kredibiliti di kalangan penyokongnya dengan menyertai kerajaan perpaduan Anwar - selepas pendirian tegasnya menolak PH yang dibuat sebaik pilihan raya umum selesai.

Terdapat spekulasi bahawa Anwar mungkin telah menghubungi PN sebelum istana mengumumkan jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun, pemimpin PN tidak menjawab permintaan Malaysiakini untuk mengulas mengenai perkara itu.

Pilihan 3: Kekacauan

Tentu saja, Anwar juga boleh, memilih untuk tidak berbuat apa-apa dan mengenepikan PN sepenuhnya.

Gabungan PH dan BN mempunyai 112 kerusi - jika semua ahli parlimen BN turut serta dalam kerajaan perpaduan Anwar - selain sokongan daripada Warisan (tiga kerusi), serta GPS (23) dan GRS (enam) yang berikrar untuk menyokong siapa pun yang dilantik Agong sebagai perdana menteri.

Ini boleh menyaksikan Anwar menguasai hampir dua pertiga Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun, dengan PN mengawal teras sokongan utama di kalangan orang Melayu di seluruh Semenanjung, akan ada risiko protes dan perhimpunan menentang kerajaan Anwar dan sebarang pembaharuan yang mungkin mereka ingin lakukan.

Kehilangan sokongan Melayu juga mungkin menakutkan BN - yang perlu mendapatkan semula sokongan Melayu - dan menyebabkan mereka meninggalkan kerajaan perpaduan.

Sementara itu, selain menghulurkan tangan kepada PN, Ong berkata PH dan kerajaan perpaduan mesti mengawal "pelampau" dari parti masing-masing.

“Salah satu sebab utama mengapa Langkah Sheraton boleh berlaku adalah kerana suara-suara ‘pelampau’ dari dalam barisan PH secara terbuka menyerang kerajaan mereka sendiri, terutamanya perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.

“Suara sebegini berkemungkinan akan menjejaskan kerajaan perpaduan, terutamanya jika suara mereka memberi tekanan dalaman kepada pemimpin dari parti masing-masing dalam kerajaan untuk beralih ke kedudukan ‘pelampau’ mereka.

"Sekiranya suara-suara seperti itu dari dalam setiap parti tidak ditangani dengan betul, kerajaan perpaduan yang baru hanya bertahan jangka pendek," katanya.


Laporan tambahan oleh Isabelle Leong

Lihat Komen
ADS