Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada sambutan atau konvoi susulan pelantikan Anwar - DAP

DAP arahkan semua peringkat pimpinan parti supaya tidak menganjurkan sebarang bentuk sambutan mahupun acara konvoi kenderaan susulan pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Setiausaha Agungnya Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook berkata semua pihak diminta bertenang dan menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

"Kerajaan yang bakal ditubuhkan adalah sebuah Kerajaan Perpaduan (Unity Government) yang merangkumi pelbagai gabungan parti politik. Kita perlu bekerjasama dan bersatu padu dalam membantu Perdana Menteri mengemudi negara keluar daripada kemelut yang dihadapi," katanya.

Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan melantik Anwar, 75, sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, dengan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri berlangsung kira-kira pukul 5 petang di lstana Negara.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli turut mengingatkan penyokong parti itu terutamanya, untuk tidak mengadakan sebarang perhimpunan selain menasihati agar berhati-hati dengan sebarang kandungan di media sosial atau pesanan ringkas yang boleh menimbulkan kerisauan atau dijadikan alasan untuk provokasi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS