Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang berlangsung sejak 4 Nov lepas ditangguhkan hari ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Selepas bersidang selama satu hari pada 4 Nov lepas, persidangan DUN Pulau Pinang kemudian ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 dan bersambung semula pada 21 Nov lalu.

Sepanjang persidangan lima hari itu, 67 soalan lisan, 553 soalan bertulis, satu usul serta satu rang undang-undang telah dikemukakan.

Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2023 yang dibentang Ketua Menteri Chow Kon Yeow telah dibahas dan diluluskan.

Hari terakhir persidangan turut menyaksikan usul yang dibawa Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan disokong oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkenaan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Mengenai Perhubungan Negeri dan Persekutuan untuk menyiasat dan melaporkan ke atas semua perkara berkait atur kerja operasi dan pentadbiran antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Katanya Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P Ramasamy akan menjadi pengerusi jawatankuasa itu manakala Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (UMNO-Sg Dua), Gooi Hsiao-Leung (PKR-Bukit Tengah), Satees Muniandy (DAP-Bagan Dalam), Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk), Muhammad Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bersatu-Bertam), Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) dan Teh Lai Heng (DAP-Komtar) dilantik menjadi ahli.

Usul itu diluluskan sebulat suara oleh anggota dewan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS