Keutamaan teratas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaik sahaja ia berjaya menguasai kepentingan Rashid Hussain Bhd (RHB) ialah melupuskan aset-aset bukan teras dan mengurangkan hutang RHB kepada paras yang boleh diuruskan iaitu kepada RM1 bilion-RM2 bilion daripada RM3.6 bilion pada masa ini.

Daripada jumlah hutang yang RHB tanggung sekarang, RM2.36 bilion ialah hutang luaran sementara kira-kira RM1.24 bilion ialah pinjaman antara syarikat dari RHB Capital Bhd.

"Pinjaman antara syarikat akan diselesaikan dan kami akan menjual "Vision City" (kompleks bangunan di sini). Sebaik sahaja ini dilakukan, tiada banyak lagi tinggal untuk RHB. Kami akan menyahsenarai RHB tetapi mengekalkan penyenaraian RHB Capital," kata ketua pegawai eksekutif KWSP Datuk Azlan Zainol kepada Bernama hari ini.

Tabung pencen negara ini akan membincangkan perkara itu dengan penasihatnya, tambah beliau, sambil mengatakan yang masih lagi terdapat baki hutang selepas rombakan itu.

"Jadi, sekarang ini, kami masih lagi berunding dengan penasihat kami mengenai tahap hutang. Bagi saya, ia mesti berada pada paras yang boleh diuruskan dan mesti cekap dari segi percukaian," katanya sambil menambah yang KWSP mahu mendapat "manfaat" daripada undang-undang percukaian.

Apa yang dikatakan sebagai paras yang boleh diuruskan pada beliau?

"Kami tidak tahu lagi. Mungkin RM1 bilion atau RM2 bilion. Biarlah penasihat memutuskannya," katanya.

Jual "Vision City"

Bagi "Vision City", Azlan berkata, ia bernilai kira-kira RM400 juta tetapi ada pihak yang sanggup membuat tawaran yang lebih tinggi.

"Kami sudahpun ada pihak yang berminat untuk membelinya dan membuat tawaran melebihi RM400 juta. Harap-harap menjelang akhir tahun, ia dapat dijual," tambah beliau.

KWSP, kata beliau, akan menjual sebarang perniagaan bukan teras kumpulan.

"Malah, kami boleh jual ibu pejabat RHB," tambahnya tetapi enggan mengulas lanjut mengenai rancangan atau aset-aset bukan teras lain yang telah dikenalpasti untuk pelupusan.

Rancangan ini akan dilaksanakan sebaik sahaja niaga janji ini selesai, kata beliau.

Pada 8 Mac, Utama Banking Group Bhd (UBG) telah menerima cadangan semakan semula KWSP untuk menguasai kepentingan UBG sebanyak 32.8 peratus dalam RHB dengan nilai RM2.25 bilion. KWSP telahpun menguasai 30.9 peratus dalam RHB, yang sebaliknya pula memiliki 64.61 peratus dalam RHB Capital. Keseluruhan niaga janji ini dijangka siap dalam tempoh empat bulan.

Azlan berkata, KWSP masih menantikan kelulusan niaga janji itu daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.

Sambil mengulangi yang RHB Group ialah satu belian yang baik, ketua KWSP itu menekankan yang KWSP telahpun membuat kajian terperinci sebelum membuat tawaran kepada UBG.

"Kami melantik bukan satu tetapi dua penasihat. Hanya untuk memastikan segala-galanya berjalan baik. Kami mengambil risiko tetapi bukanlah risiko yang besar. Dalam apa-apa juga perniagaan yang kami lakukan, kami mengambil risiko.

EPF, kata beliau, telah mewakili lembaga RHB untuk beberapa tahun, jadi, ia tahu bagaimana perjalanan syarikat, terutamanya dalam tempoh dua hingga tiga tahun lepas.

"Saya tahu prestasinya baik. Saya akan melakukan yang terbaik atau lebih baik dalam beberapa tahun akan datang," kata Azlan.