Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS akan bincang tawaran Anwar untuk sertai k’jaan perpaduan
Diterbitkan:  Nov 25, 2022 11:50 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Reda dengan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan hari ini memaklumkan Perikatan Nasional (PN) akan berbincang dalam masa terdekat berhubung tawaran pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk menyertai kerajaan perpaduan.

“Mengenai tawaran perdana menteri kepada PN untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinannya, PAS mengucapkan terima kasih seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN, di samping turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada PAS dan PN dalam PRU-15 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam ucapan tahniahnya itu, Takiyuddin berkata PAS menyatakan kesyukuran atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan fungsinya, khususnya berhubung pelantikan perdana menteri, di bawah peruntukan undang-undang.

“PAS turut mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim yang telah diperkenan dan dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke-10.

“PAS yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisme yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata,” katanya.

Semalam, selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Anwar sebagai perdana menteri Ke-10.

Susulan itu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mencabar Anwar mengemukakan jumlah sokongan dimiliki bagi mengabsahkan jumlah yang diperoleh bagi memegang jawatan perdana menteri.

Muhyiddin berkata, beliau yakin telah mendapat majoriti mencukupi untuk menjadi perdana menteri dengan mendapat sokongan 115 ahli parlimen.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula pada mulanya secara terbuka berkata Perikatan Nasional masih mendahului.

Abdul Hadi kemudian muncul pada sidang media petang semalam bersama Muhyiddin.

Susulan itu, semasa sidang media pertamanya sebagai perdana menteri, Anwar berkata parlimen akan bersidang pada 19 Dis dan usul pertama adalah pengundian usul percaya.

Anwar juga berkata dia akan menjadi perdana menteri untuk semua.

Bagaimanapun, Anwar menambah maklum balas awal PN adalah "tidak menggalakkan", merujuk kepada penolakan Muhyiddin terhadap cadangan pihak istana untuk bekerjasama dengan PH.

Lihat Komen
ADS