Kecilkan saiz kabinet tak jejaskan penjawat awam - Aziz Bari
Adun Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari berkata langkah mengecilkan saiz kabinet atau jumlah menteri tidak akan memberi kesan kepada penjawat awam.
Dia berkata demikian bagi menjawab isu yang ditimbulkan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat mengenai kesan langkah tersebut terhadap kakitangan awam.
“Agak pelik dan sememangnya tidak wajar untuk Ceupacs membangkitkan isu itu.
“Adakah beliau (Adnan Mat) bimbang pengecilkan kabinet akan menjejaskan perkhidmatan awam? Itu tidak timbul langsung,” kata Aziz kepada Malaysiakini.
Semalam Adnan Mat berkata Anwar perlu dapat mengadakan perbincangan terlebih dulu dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan semua Ketua Setiausaha (KSU) di kementerian berhubung langkah mengecilkan saiz Kabinet.
Adnan berkata perbincangan bersama ini perlu dilakukan bagi mengelak kesan negatif kepada jentera pentadbiran kerajaan.
Katanya, langkah itu juga perlu supaya sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terkesan sehingga menyebabkan nama baik penjawat awam tercemar.
Mengulas lanjut, Aziz berkata Anwar hanya perlu merujuk kepada Peguam Negara dan bukannya penjawat awam kerana ia membabitkan dasar kerajaan.
“Perdana menteri tidak pernah bercakap mengenai perkhidmatan awam, beliau hanya bimbang mengenai kabinet yang besar.
"Bahkan iini mungkin lebih baik kerana kerajaan yang lebih kecil akan lagi kurang menggunakan wang dan sumber," kata Adun DAP itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/04/bf20ed48b1980733b5c3e5144abc863c.jpg)
