Bekas Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan tokoh pendidikan, Prof Dr Sidek Baba dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr Yusri Mohamad di Facebook.
“Telah pulang ke rahmatullah Cikgu Dr. Sidek Baba pukul 7 lebih tadi. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmah dan maghfirah. Al-Fatihah,” katanya.
Sementara itu, anak allahyarham, Izzuddin di laman Facebooknya berkata ayahnya menghembuskan nafas terakhir ketika Maghrib di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.
Menurutnya, Allahyarham mengalami sakit jantung dan komplikasi buah pinggang sejak tiga bulan lalu.
Dia turut memohon agar orang ramai mendoakan agar roh ayahnya dicucuri rahmat dan tergolong dalam kalangan orang beriman.
Nama Sidek tidak asing lagi dalam dunia pendidikan dan akademik, selain pernah memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Atas sumbangannya, Allahyarham pernah menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 2009.
Sidek dilahirkan di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka dan memegang jawatan sebagai Timbalan Rektor UIAM (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar) dari 1994 hingga 2002.
