Anwar harap hubungan kerajaan pusat dan Sarawak jadi lebih akrab
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kunjungan delegasi yang diketuai oleh Premier Sarawak Abang Johari Openg di rumahnya pagi ini.
Susulan lawatan itu, Anwar berkata di Facebook bahawa dia mengharapkan hubungan yang lebih erat antara kerajaan persekutuan dan Sarawak.
“Gabungan Parti Sarawak atau GPS menjadi di antara tunggak yang membentuk kerajaan perpaduan yang dikemudi saya.
"InshaAllah, hubungan di antara kerajaan persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuh dalam rencana melakar sebuah Malaysia yang lebih baik dan berketerampilan,” katanya.
Anwar memuat naik gambarnya bersama Johari. Turut kelihatan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.
GPS yang kini mempunyai 23 ahli parlimen pada mulanya bersetuju untuk membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), BN, dan GRS.
Bagaimanapun, pendiriannya itu berubah selepas PN dilihat tidak dapat meraih majoriti sokongan yang diperlukan, selain bantahan daripada rakyat Sarawak mengenai prospek bekerjasama dengan parti komponen PN, PAS.
Selepas permohonan maaf secara terbuka oleh pemimpin DAP dan Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Johari sebagai ketua GPS mengumumkan gabungannya akan menyertai kerajaan perpaduan Anwar.
Anwar kini mendakwa mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen, dengan sokongan daripada Muda, BN, GPS, GRS, Warisan, Parti Bangsa Malaysia, dan ahli parlimen bebas.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/a2040709b82f4c7137a4f6532bf982f0.jpg)
