Peguam bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Kasitah Gaddam sedang menimbangkan untuk memohon kebenaran untuk mengemukakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah berhubung komen beliau dalam dua protal berita yang peguam itu percaya prejudis terhadap perbicaraan Kasitah yang sedang berjalan.

Datuk Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi hari ini bahawa temubual Mohamad Ramli Abdul Manan yang disiarkan oleh malaysiakini dan Malaysia Today amat tidak wajar bagi pihak bekas Pengarah BPR negeri itu dan kenyataan beliau amat serius.

"Ramli bertindak sesuka hati dan kenyataan yang dibuatnya seolah-olah dibuat oleh orang kurang siuman," kata Muhammad Shafee.

Menurut laporan Bernama, Muhammad Shafee berkata, beliau telah diarahkan oleh anak guamnya (Kasitah) untuk meneliti artikel dalam kedua-dua portal berita itu sebelum mengambil tindakan lanjut.

Beliau juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa dalam satu daripada artikel dalam malaysiakini , Ramli mendakwa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan beliau "disisihkan" berhubung penyiasatannya terhadap dakwaan aktiviti rasuah Kasitah.

Dr Mahathir semalam menjawab dakwaan Ramli dengan berkata kenyataan bekas pengarah BPR Sabah itu merupakan langkah untuk mencemarkan nama beliau sambil menyatakan beliau tidak pernah dimaklumkan bila menteri itu disiasat oleh badan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Suraya Othman menasihatkan Muhammad Shafee (foto) menyiasat perkara itu lebih lanjut sebelum memutuskan untuk menyaman Ramli.

'Tindakan sivil'

"Mungkin peguambela boleh mencari kaedah lain seperti mengambil tindakan sivil di mana anda boleh mendapatkan perintah sekatan terhadap Ramli," katanya.

Suraya berkata demikian di perbicaraan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Kasitah, 60, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) bagi keuntungan kewangan peribadi dengan mengambil bahagian dalam keputusan meluluskan penjualan 16.8 juta saham milik lembaga itu kepada Briskmark Sdn Bhd.

Beliau juga didakwa menipu SLDB dengan menyembunyikan tawaran PPB Palms Sdn Bhd untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi satu saham Sapi Plantations dalam cadangan oleh PPB Oil Palms untuk penyenaraian di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Sementara itu, saksi kesembilan pendakwaan, bekas pengarah eksekutif InnoSabah Securities Sdn Bhd, Bernard Kong Kok Keong, 54, memberitau mahkamah bahawa dua pengarah Briskmark Enterprise Sdn Bhd, Datuk Wasli Mohd Said dan Salim Mohamad, telah meminta bantuannya untuk membuka akaun dengan firma brokernya dan satu lagi akaun dengan Malaysian Central Depository.

Kong berkata, firma itu diberi had kredit RM5 juta dan beliau sendiri mengendalikan akaun syarikat itu.

Semasa pemeriksaan utama, Kong berkata sebuah lagi syarikat, Arkwell Enterprise Limited, berdaftar di Virgin Islands, juga membuka akaun serupa dan syarikat itu diberikan had kredit minimum RM50,000.

Beliau berkata, bekas rakan kongsi Arthur Anderson, Vincent Chia Ka Soon yang merupakan pengarah syarikat itu, mempunyai kuasa untuk melakukan transaksi berkaitan akaun Arkwell.

Perbicaraan disambung esok.