Walau terdapat perbezaan pendapat tentang murtad, umat Islam harus mengikut pandangan ulama dan tidak sewenang-wenangnya menuduh seseorang itu murtad.

"Kita perlu mengikut ulama tetapi mereka juga manusia, bukan Nabi. Sebagai manusia, mereka mungkin betul atau salah tetapi kerana tidak mempunyai pilihan, kita perlu menerima tafsiran itu," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kepada hampir 2,000 peserta "Wacana Kebangsaan Intelektual Muda Muslim" di Universiti Islam Antarabangsa pagi tadi.

Beliau berkata setiap perbincangan tentang isu ini seharusnya dijalankan secara intelektual, bukannya beremosi.

Akibat pelbagai tafsiran terhadap Al-Quran, ramai menjadi keliru tentang salah atau betul pandangan seseorang ulama, katanya lagi.

Apabila ditanya tentang Rang Undang-undang Pemulihan Akidah bagi membanteras gejala murtad ketika sidang media selepas itu, Dr Mahathir berkata "perkara tersebut masih dalam kajian."

Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri, Noh Omar pada 17 September lalu turut dilaporkan berkata rang undang-undang tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. Ia hanya akan diserahkan untuk kelulusan kementerian setelah dipastikan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Dalam ucapannya pagi itu, Perdana Menteri mengkritik sesetengah pihak yang terlalu taksub kepada kumpulan-kumpulan tertentu sehingga tidak mempersoalkan perbuatan pemimpin mereka.

"(Pemimpin itu) kata Tuhan juga menggunakan perkataan yang tidak baik (mencarut), walau mereka berbuat salah, mereka tetap juga ketua," katanya, dipercayai merujuk pandangan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, terhadap buku kontroversi, Shit .

Beliau turut menjelaskan melalui pengalaman Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), sukar bagi negara-negara itu melaksanakan hukum hudud.

"Mereka tidak ada kemampuan. Sebagai contoh zina, liwat dan lain-lain, amat susah untuk menyediakan empat orang saksi," jelasnya lagi.

"Ada perkara yang boleh dibuat dan ada perkara yang tidak boleh dibuat dan tidak semestinya kita menolak Islam kerana ketidakmampuan tersebut."