Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH beri laluan kepada calon BN di Tioman
Diterbitkan:  Nov 29, 2022 12:04 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Amanah dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk memberi laluan kepada calon BN bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Tioman.

Setiausaha Agung Amanah Dr Mohd Hatta Ramli berkata langkah tersebut diambil sebagai menunjukkan kesepakatan kerajaan negeri Pahang dan Putrajaya.

"Bagi memenangkan calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan ini, Jentera Pilihan Raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN dalam PRK berkenaan," katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah hari ini, Mohd Hatta berkata Amanah memandang PRK Pulau Tioman pada 7 Dis ini sebagai pertembungan di antara kerajaan baru Pahang dengan sekelompok ekstremis kaum dan agama.

Keadaan itu, katanya, perlu ditangani secara serius oleh semua pihak.

"Atas semangat itulah Amanah melihat ada keperluan untuk mewujudkan perpaduan erat komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN).

" Oleh yang demikian, Amanah yang juga sebahagian daripada parti komponen PH mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada calon BN bagi PRK Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional," katanya.

PRK Tioman diadakan selepas salah seorang calon bagi DUN tersebut, Md Yunus Ramli, meninggal dunia beberapa jam sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15 dijalankan pada 19 Nov lalu.

Md Yunus, 61, merupakan calon dari PAS yang sepatutnya mewakili PN.

Dia pernah bertanding di kerusi tersebut pada PRU 2018. Selain Md Yunus, ada empat lagi calon yang berdaftar pada 19 Nov lalu iaitu Mohd Johari Hussain (BN), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Osman A Bakar (Pejuang) serta Sulaiman Bakar (bebas).

Mohd Johari merupakan penyandang kerusi tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK Tioman diadakan pada 24 Nov manakala pengundian awal pada 3 Dis.

Tiga belas hari diberikan SPR sebagai tempoh berkempen.

Untuk PRK kali ini, PN menamakan Nor Idayu Hashim sebagai calon baru mereka.

Lihat Komen
ADS