Banjir kilat landa Putrajaya, Sepang, Klang dan KL
Beberapa kawasan di Putrajaya, Dengkil, Klang dan Kuala Lumpur dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang melanda Lembah Klang sejak petang tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Ahmad Razali di Dengkil dan Taman Meru Jaya di Meru, Klang.
Jurucakap JBPM memberitahu pemberita, sepasukan lapan anggota bomba telah ditugaskan ke Kampung Ahmad Razali di mana mereka mendapati air naik sehingga paras buku lali sebelum kembali surut.
Di Taman Meru Jaya pula, sebanyak 18 rumah ditenggelami air sedalam kira-kira satu kaki (kira-kira 0.3 meter).

“Tiada sebarang pemindahan dilakukan di kawasan ini, dipercayai banjir kilat berpunca daripada longkang tersumbat.
“Air sudah mulai surut,” kata pegawai itu.
Menurut JBPM, banjir kilat turut dilapor melanda beberapa kawasan di Sepang iaitu Kota Warisan dan Taman Warisan Indah. Selain itu pasukan bomba turut menerima laporan pokok tumbang di Batang Kali dan Puchong.

Polis Daerah Sepang dalam pada itu memaklumkan Kampung Tanjong dan Ampar Tenang di Sepang turut mengalami banjir.
Di Putrajaya, Perbadanan Putrajaya memaklumkan banjir kilat melanda Presint 5 susulan hujan lebat.
"Kerja-kerja pembersihan sudah dimulakan di kawasan yang dinaiki banjir di Presint 5, susulan hujan lebat hari ini.
“Pasukan "task force" Perbadanan Putrajaya terus memantau keadaan di lapangan," kata perbadanan itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/342f903e66ffec21f6c75f0de0a3c247.jpg)
