Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda kunci mulut soal lantikan Syed Saddiq ke kabinet

Ketika tumpuan terarah kepada pembentukan kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pemimpin Muda enggan memberi sebarang kenyataan berhubung kemungkinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman dilantik menyertai anggota kabinet.

Malaysiakini cuba menghubungi Ahli Parlimen Muar itu dan kepimpinan tertinggi parti terbabit bagi mendapatkan maklum balas mengenainya, namun tiada sebarang respons setakat ini.

Pengasas bersama Muda, Lim Wei Jiet yang dihubungi berkata dia tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara itu ketika ini.

“…Sebaik-baiknya kita tunggu pengumuman Anwar Ibrahim mengenai perkara ini," katanya ringkas.

Syed Saddiq sebelum ini dilantik bagi menerajui Kementerian Belia dan Sukan di bawah pentadbiran kerajaan PH.

Dia juga menjadi satu-satunya ahli politik termuda yang memenangi kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, ahli parlimen Muar itu kini menghadapi empat pertuduhan berkaitan penyelewengan RM1.12 juta dana Bersatu.

Ini menimbulkan persoalan sama ada dia boleh diterima sebagai anggota kabinet - seperti Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, dan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Bung Moktar Radin - yang kini menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia akan mengambil kira pandangan semua pihak mengenai pelantikan anggota kabinet selain menyatakan perkara itu masih dibincangkan.

Terdahulu, Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) dan pemimpin politik seperti Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim serta bekas menteri, Rafidah Aziz membantah sekeras-kerasnya penyertaan individu yang mempunyai kes mahkamah ke dalam kabinet.

Pada masa sama, Bendahari Pemuda Umno, Johari Yazid dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyatakan sokongan terbuka agar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dinamakan sebagai timbalan perdana menteri.

Anwar sebelum ini berkata PH telah menyatakan pendiriannya menolak ahli parlimen yang disabitkan bersalah untuk menganggotai kabinet tetapi perbincangan lanjut perlu diadakan dengan sekutu baru dalam kerajaan.

Lihat Komen
ADS