ARO hargai hasrat PKR Merbok dan Padang Serai
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Rahman Othman berkata beliau menghargai bahagian Merbok dan Padang Serai yang mencalonkan beliau untuk bertanding jawatan presiden PKR.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Rahman Othman berkata beliau menghargai bahagian Merbok dan Padang Serai yang mencalonkan beliau untuk bertanding jawatan presiden PKR.
"Saya amat menghargai hasrat kedua-dua bahagian tersebut yang mahu saya bertanding jawatan presiden PKR dalam Kongres Nasional di Seremban, Mei ini," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara jelas sama ada akan bertanding atau sebaliknya, kerana menurutnya bahagian-bahagian PKR masih belum habis bermesyuarat.
Katanya, beliau juga perlu menunggu surat dari ibupejabat parti sebelum boleh mengesahkan untuk bertanding atau tidak.
Abdul Rahman mengakui telah mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan PKR bahagian Merbok dan Padang Serai pagi semalam bagi menyatakan penghargaan di atas pencalonan beliau bertanding jawatan presiden.
Sehingga ini Abdul Rahman telah mendapat dua pencalonan dari bahagian Merbok dan Padang Serai dan dengan itu, layak bertanding jawatan presiden dalam kongres nasional nanti.
Manakala bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi penasihat PKR mendapat 26 pencalonan dan isterinya yang juga penyandang jawatan tersebut, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, menerima lima pencalonan.
Umum pendirian
Pertemuan tersebut turut membabitkan Timbalan Ketua PKR bahagian Merbok, Mokhtar Mansor dan Ketua Angkatan Muda Padang Serai, Khairul Anwar Ramli. Ia diadakan di Sungai Petani pagi semalam. Hadir sama ialah bekas Pengerusi PKR Kedah, Akashah Ismail.
Ketika dihubungi, Mokhtar berkata, Abdul Rahman mahu mendapatkan pandangan dari bahagian Merbok dan Padang Serai sebelum bertanding jawatan presiden.
"Abdul Rahman ada menyebut bahawa beliau menghargai pencalonan bahagian Merbok dan Padang Serai untuk bertanding jawatan presiden,"katanya lagi.
Mokhtar berkata, bekas bendahari PKR itu juga dijangka mengumumkan pendiriannya dalam masa terdekat.
Abdul Rahman juga, katanya mengucapkan terima kasih kepada bahagian Merbok dan Padang Serai kerana memberi kepercayaan dan mencalonkan beliau bertanding jawatan tersebut.
Manakala, setiausaha PKR bahagian Merbok, Zamil Ibrahim berkata, bahagiannya mengharapkan Abdul Rahman akan bertanding jawatan presiden dalam kongres nasional nanti.
Di samping itu, katanya, para penyokong Abdul Rahman juga kini ternanti-nanti keputusan beliau berhubung pencalonan tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.