Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi nafi PAS ekstrem, petik sokongan MIC dan MCA
Diterbitkan:  Nov 30, 2022 12:23 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menafikan dakwaan yang menuduh partinya mempunyai unsur “ekstrem” sambil memetik akuan berkanun (SD) pemimpin MCA dan MIC menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Dia juga memetik Gerakan yang merupakan salah seorang rakan PAS dalam gabungan PN.

“Jawapan saya praktikal. Bersama kita (dalam PN) Gerakan. Bersama kita bukan Islam. Kita bekerjasama dengan semua orang.

“Apa yang menarik parti MCA, MIC, termasuk parti Sabah beri SD sokong kita bentuk kerajaan baru-baru ini. Kecuali DAP,” kata Abdul Hadi menjawab soalan wartawan semasa sidang media di Bandar Baru Rompin, Pahang malam tadi.

Petikan video sidang akhbar itu dimuat naik ke Facebook Abdul Hadi hari ini.

Abdul Hadi meneruskan serangan terhadap DAP sejak kempen PRU ke-15 dengan mengaitkan parti itu sebagai anti-Islam, antimonarki, komunis, dan Islamofobia.

Sementara PAS dan PN pula berdepan kritikan baru-baru ini kerana didakwa mempermainkan isu perkauman dan agama untuk meraih sokongan daripada pengundi Melayu.

Selepas keputusan PRU ke-15 diumumkan, sejumlah siaran media sosial daripada pelbagai netizen yang dilihat berisiko menyemarakkan ketegangan kaum dan agama.

Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak itu memberi amaran kepada pengguna media sosial supaya tidak menggunakan platform media sosial secara provokatif yang boleh membawa kepada keresahan orang ramai.

Lihat Komen
ADS