Padang Serai perlukan RM400j atasi masalah banjir - Azman
Calon Perikatan Nasional (PN) parlimen Padang Serai Azman Nasrudin menjelaskan usaha menangani masalah banjir di kawasan itu menjadi tumpuan utamanya sejak menjadi ahli dewan undangan negeri (Adun) Lunas.
Bagaimanapun katanya perkara itu memerlukan kos yang besar dan dijangka menelan belanja hampir RM400 juta untuk mendapatkan penyelesaian secara menyeluruh.
"Ketika saya berjumpa dengan pegawai Jabatan Paengairan dan Saliran (JPS) Kulim sebelum ini, dijangkakan seluruh kawasan Padang Serai memerlukan kos hampir RM400 juta.
"Apabila saya bawa perkara ini kepada JPS, sedikit demi sedikit mereka dah mula baiki, buat tebing sungai yang baru misalnya.
"Banyak perkara diambil tindakan oleh JPS, tetapi untuk tebatan banjir memerlukan lagi kos agak besar," katanya.

Ditemui media pada program kempennya di Kulim, semalam Azman yang juga exco Kedah berkata isu banjir di Padang Serai memang selalu dibangkitkannya.
Namun tambah Azman ia belum diatasi sepenuhnya mungkin kerana menunggu peruntukan daripada kerajaan pusat.
Dalam RPK Padang Serai pada 7 Dis ini Azman berdepan cabaran calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak; C Sivarraajh (BN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (bebas).
Pemilihan ahli parlimen bagi Padang Serai ditunda selepas kematian penyandangnya yang juga calon PH, M Karupaiya, pada 16 Nov lalu.
Azman berkata, selain masalah banjir pihaknya juga akan mengambil perhatian terhadap isu capaian liputan internet yang rendah di kawasan itu.
Mengakui capaian yang rendah, Azman berkata, di peringkat kerajaan negeri ia memang sudah dibincangkan dan ada rancangan untuk menaik taraf.
"Ada agensi-agensi kerajaan negeri telah bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk melihat perlunya menaiktaraf capaian internet di kawasan ini. Sebagai pemimpin perkara ini kita perlu utarakan selalu," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/75a7dc038db40fc1b659d426ac701343.jpg)
