Akta anti lompat parti: Umno pinda perlembagaan bulan depan
Umno akan membentangkan usul untuk meminda perlembagaan parti semasa perhimpunan agungnya bulan depan agar ia "selaras" dengan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai lalu.
Naib Presiden Umno Khaled Nordin memberitahu Malaysiakini bahawa ini akan menjadi intipati usul yang akan dibentangkan dalam satu sesi petang 23 Disember ini.
Umno akan mengadakan perhimpunan agungnya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dari 21 Disember hingga 24 Disember.
“Peruntukan yang boleh menepati kehendak akta anti lompat parti,” katanya.
Ketika ditanya sama ada ia akan sama dengan parti lain seperti Amanah dan DAP baru-baru ini, Khaled membayangkan begitu, tetapi menegaskan ia terpulang kepada keputusan Majlis Tertinggi Umno.
“Kandungannya saya tidak pasti lagi, tapi ia untuk lebih menepati akta lompat parti, supaya ia lebih perinci, selari.
“Biasanya saya yang akan tengok drafnya, tapi apa bentuknya, saya belum dapat keputusan daripada MKT lagi,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, kandungan usul berkenaan itu akan diputuskan oleh MKT Umno, yang dijadualkan bermesyuarat berhubung perkara itu tidak lama lagi.
Pada 28 Julai, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang pindaan perlembagaan yang bertujuan untuk menghalang ahli Parlimen daripada bertukar parti.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/04/57bbcc7e9f55c38ae083e355a5afbeb6.jpg)
