Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada keputusan beri laluan, Sivarraajh kempen lebih agresif

Calon BN untuk kawasan parlimen Padang Serai C Sivarraajh tetap meneruskan kempennya, malah lebih agresif memandangkan tiada sebarang keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi parti sama ada dia perlu menarik diri atau sebaliknya.

Bagaimanapun, menurut bekas naib presiden MIC itu lagi, sebelum sebarang keputusan diambil oleh pemimpin tertinggi parti mereka wajar berbincang terlebih dulu dengannya.

"Saya belum dihubungi oleh kepimpinan parti berkenaan sebarang keputusan setakat ini. Saya menjalankan kempen seperti biasa, bahkan boleh dikatakan lebih agresif.

"Jadi setakat ini tak ada apa-apa yang diputuskan oleh pimpinan yang dimaklumkan kepada saya. Jadi saya akan teruskan kerjalah.

"Kalau ada sebarang keputusan, saya akan berbincanglah dengan pimpinan parti," katanya kepada media ketika berkempen di sekitar Kolej Tingkatan Enam Kulim hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keputusan PH yang menarik diri daripada bertanding di PRK DUN Tioman bagi memberi laluan kepada calon BN berdepan dengan pencabar lain.

Kerjasama itu terbentuk selepas BN dan PH berpakat membentuk kerajaan persekutuan dan Pahang.

Sivarraajh berkata, dia tetap menunggu keputusan daripada pimpinan dengan harapan PH yang memberi laluan kepadanya.

"Sepatutnya mereka (PH) yang beri laluan kepada kami sebab dah tiga tahun saya bekerja di sini dan mengenali kebanyakan pengundi di sini.

"Jadi peluang kemenangan saya lebih cerah berbanding parti lain.

"Tapi apapun saya tunggu kepimpinan untuk buat keputusan muktamad. Sebelum bawa keputusan itu, saya harap mereka akan maklum pada saya," katanya.

Lihat Komen
ADS