Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PH gesa tubuhkan RCI siasat dakwaan 'ketirisan RM500 bilion'
Diterbitkan:  Nov 30, 2022 9:12 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

Biro mobilisasi Pakatan Harapan menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti dakwaan ketirisan perbelanjaan kerajaan berjumlah lebih RM500 bilion semasa Muhyiddin Yassin memegang jawatan perdana menteri.

Pemimpin Amanah Mohd Sany Hamzan menegaskan bahawa aliran dana yang didakwa itu perlu disiasat kerana ia melibatkan sejumlah wang yang besar dan dikatakan tidak diaudit.

"Kita tidak tahu ke mana perginya RM500 bilion ini semasa pemerintahan Muhyiddin. Jumlahnya sangat besar, jadi kita menggesa RCI ditubuhkan untuk menyiasat ke mana wang itu dibelanjakan," dakwanya.

Sany membuat kenyataan itu selepas membuat laporan mengenai perkara itu di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi hari ini.

Dia disertai oleh wakil daripada biro mobilisasi PH.

Antara lain, laporan dibuat berhubung dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersubahat dengan Israel; calon PN Padang Serai Azman Nasruddin menuduh kerajaan persekutuan adalah "kerajaan zina"; dan teguran Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengenai "pengadil memindahkan tiang gol."

Mengenai isu sama, Sany berkata Amanah juga akan membuat laporan berhubung isu dana tersebut kepada SPRM.

"Kita akan ke sana (SPRM). Kalau dulu 1MDB RM2.6 bilion tetapi yang ini RM500 bilion, lebih sepuluh kali ganda nilainya tidak melalui parlimen," dakwanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS