Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCMC komited percepat kajian tangani kandungan provokatif
Diterbitkan:  Dec 2, 2022 3:35 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited untuk mempercepatkan kajian ke atas kerangka pengurusan kandungan dalam talian yang semakin berleluasa.

Dalam satu kenyataan media, hari ini, MCMC berkata kandungan berbaur provokatif dan berbahaya itu menyebarkan isu perkauman dan mewujudkan perpecahan masyarakat di negara ini.

"Sudah tiba masanya kerangka kawal selia semasa perlu dikaji semula, mengambil kira keadaan semasa di alam siber yang dilihat di luar kawalan yang memungkinkan penyebaran kandungan-kandungan yang mengancam keselamatan dan keharmonian negara, pandangan ekstremisme dan palsu.

"Kajian ini meliputi kerangka kawal selia dalam aspek pelesenan, kesesuaian hukuman atau penalti semasa serta keperluan untuk memperkenalkan undang-undang baharu.

"Mutakhir ini, kita melihat perkembangan serantau di mana negara-negara seperti Indonesia, Singapura dan Australia telah memperkenalkan undang-undang secara langsung dalam mengawal selia platform penyedia perkhidmatan media sosial agar mereka lebih bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan dalam menguruskan kandungan yang mengancam," kata MCMC.

Kenyataan MCMC ini dikeluarkan tiga hari selepas Majlis Raja-Raja Melayu menggesa kerajaan untuk menyemai "semangat kebersamaan" dalam kalangan rakyat Malaysia.

Majlis itu juga berharap supaya tiada lagi pemimpin yang membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut masyarakat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS