Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 20,000 pesakit kanser baru dikesan di Malaysia setiap tahun

Lebih 20,000 pesakit kanser baru dikesan di Malaysia setiap tahun dengan purata usia bagi seorang pesakit lebih 40 tahun, kata Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr M. Murallitharan.

Beliau berkata bagaimanapun, sejak dua tahun kebelakangan ini, ramai pesakit kanser baharu adalah dalam kalangan mereka yang berusia lewat 20-an hingga awal 30-an.

"Situasi ini amat membimbangkan kerana usia individu yang dikesan menghidap kanser kini lebih muda dan jumlah kanak-kanak yang menghidap kanser juga adalah tinggi.

"Bagi lelaki, terdapat 10 jenis kanser yang sering mereka menghidapi dan kategori tertinggi yang direkodkan ialah kanser usus diikuti paru-paru, prostat, limfoma, nasofarinks, hati, leukemia, perut, kulit dan pundi kencing," katanya kepada pemberita selepas Program Relay For Life (RFL)-Luminaria 2022 di Melaka malam tadi.

Program anjuran NCSM yang bertujuan memberi sokongan kepada pesakit kanser itu dirasmikan Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh.

Murallitharan berkata bagi wanita pula, kanser tertinggi yang direkodkan ialah payudara diikuti kolorektal atau usus, pangkal rahim, paru-paru, ovari, corpus uteri, limfoma, tiroid, leukemia dan kulit.

Beliau berkata bagaimanapun jumlah pesakit kanser pangkal rahim dilihat menurun dalam beberapa tahun ini dipercayai ekoran pemberian vaksin virus papiloma manusia (HPV) bermula di peringkat sekolah khususnya dalam kalangan remaja perempuan berusia seawal 13 tahun.

Katanya setakat ini jumlah pesakit atau 'cancer survivor' di negara ini yang hidup dengan pelbagai penyakit barah adalah kira-kira 100,000 orang.

Dalam perkembangan lain, katanya NCSM bercadang melaksanakan Program 'Satu Daerah, Satu Saringan' di setiap negeri secara berperingkat pada tahun hadapan dalam usaha menggalak dan memudahkan rakyat di negara ini melakukan saringan kesihatan khususnya mengesan penyakit kanser.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata kerajaan Melaka akan bekerjasama dengan NCSM untuk mewujudkan klinik kanser bergerak yang menyediakan perkhidmatan saringan bagi mengesan kanser secara percuma, bermula akhir bulan ini.

Katanya usaha berkenaan bertujuan mengesan kanser di peringkat awal agar rawatan segera dapat dilakukan sekali gus mengelak sel kanser merebak dan dapat menyelamatkan nyawa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS