Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes 1MDB: Mahkamah dengar hujah bagi penerimaan rakaman audio sebagai bukti
Diterbitkan:  Dec 5, 2022 5:47 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi hari ini mendengar hujah pihak pendakwaan berhubung permohonan mengemukakan rakaman audio sebagai bukti, sebelum ditangguhkan kerana peguam tidak sihat.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan itu setelah membenarkan permohonan pihak pembelaan yang memaklumkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama bekas perdana menteri itu tidak sihat.

Peguam Tania Scivetti memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Shafee tidak dapat menghadiri perbicaraan hari ini dan sijil sakit beliau akan dikemukakan kemudian.

Prosiding hari ini bermula dengan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram mengemukakan hujahnya mengapa pihak pendakwaan perlu dibenarkan memainkan rakaman audio antara Najib dan kerabat diraja Arab Saudi sebagai bukti dalam perbicaraan.

Sri Ram berhujah bahawa adalah sukar bagi pihak pendakwaan untuk membawa individu yang terlibat dengan rasuah ke muka pengadilan jika mereka perlu mematuhi peraturan yang mengawal Akta Keterangan 1950 (Akta 1950).

Beliau berkata keperluan pihak pendakwaan untuk membuktikan setiap dokumen mengikut kehendak Akta 1950 boleh menyebabkan ramai penjenayah rasuah bebas.

Disebabkan itulah kerajaan memperkenalkan Seksyen 41(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM) 2009 dengan cara pindaan bagi mengelak perkara ini, katanya.

Seksyen 41(A) Akta SPRM menyatakan bahawa sebarang dokumen atau salinan mana-mana dokumen yang diperoleh SPRM di bawah akta ini boleh diterima sebagai keterangan dalam prosiding di bawah akta ini, walaupun yang bertentangan dalam sebarang undang-undang bertulis lain.

“Rakaman dan transkrip itu boleh diterima di bawah Seksyen 41A Akta SPRM kerana seksyen itu tidak termasuk kaedah atau cara pembuktian yang ditetapkan oleh peruntukan di bawah Bab 5 Akta 1950,” kata Sri Ram.

Beliau seterusnya berhujah bahawa definisi dalam Akta 1950 tidak tersedia untuk tujuan semasa kerana definisi undang-undang biasa bagi sesuatu dokumen adalah cukup luas untuk menempatkan rakaman dan transkrip di dalamnya.

“Pada masa kini, urus niaga berjuta-juta boleh dilakukan secara elektronik dalam sekelip mata. Bab 5 Akta 1950 ialah undang-undang am yang mengawal penerimaan bukti dokumentari manakala Seksyen 41(A) Akta SPRM ialah undang-undang khas.

“Rakaman dan transkrip itu boleh diterima mengikut Seksyen 41(A) Akta SPRM tanpa mengira sebarang persoalan berkaitan,” katanya.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS