Ditahan 7 jam akibat berdemo depan PM
Versi terkini Lima penyokong reformasi yang ditahan polis mulai pagi ini selama tujuh jam dibebaskan pukul 3 petang tadi. Mereka ditahan ketika mengadakan satu perhimpunan aman apabila Perdana Menteri dalam perjalanan menuju ke Gombak.
Mereka berlima berkumpul di tepi jalan menuju Universiti Islam Antarabangsa sempena lawatan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di institusi pengajian itu untuk merasmikan seminar sehari tentang kepimpinan Islam yang dijadualkan jam 9 pagi tadi.
Mereka ditahan polis yang mengiringi Dr Mahathir lima minit selepas pemimpin negara itu melalui kawasan itu kira-kira jam 8 pagi ini.
Ketika itu, Syed Bani Amin Syed Baharuddin, Tan Soi Kow, Mohd Yahya Hj Mat Sahri, A Yazid Alias dan Mohd Kawit Ngadimin sedang menaikkan kain rentang "undur Mahathir undur."
Mereka yang ditahan di Balai Polis Gombak dibebaskan dengan ikat jamin polis.
Wakil rakyat Hulu Klang Mohd Azmin Ali, yang hadir di balai tengah hari selepas dimaklumkan kejadian itu, menyifatkan penangkapan itu "tidak berasas."
"Mereka bukan penjenayah dan tidak mengganggu ketenteraman awam," katanya.
Turut hadir di balai itu, ahli jawatankuasa PAS, Dr Mohd Hatta Ramli.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.