'Jangan bermimpi di siang hari, kata PAS
PAS Kedah menyifatkan keyakinan Barisan Nasional (BN) negeri itu merampas semua kerusi milik parti itu dalam pilihanaraya umum akan datang sebagai mimpi di siang hari.
PAS Kedah menyifatkan keyakinan Barisan Nasional (BN) negeri itu merampas semua kerusi milik parti itu dalam pilihanaraya umum akan datang sebagai mimpi di siang hari.
Sebaliknya, Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Razak berkata, PAS akan merampas kerusi-kerusi BN selain mengekalkan kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya umum lalu.
Ketika ini PAS mempunyai lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang Ahli Parlimen berbanding 12 kerusi negeri dan tujuh kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum 1999.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau berkata, senario politik Kedah sudah berubah sama sekali dan tidak lagi seperti tahun 2004.
"Kerajaan BN tidak lagi popular di kalangan rakyat Kedah kerana banyak janji yang dibuat pada pilihanraya umum lalu tidak mampu ditunaikannya.
"Kini orang marah kepada BN dan kerana itu kami yakin mengekalkan lima kerusi dan satu kerusi parlimen yang dimenangi dalam pilihanraya umum lalu, selain banyak lagi kerusi BN akan kami rampas.
"Beberapa kawasan Parlimen yang pernah dimenangi dalam pilihanraya 1999 tetapi kalah pada 2004, akan kami tawan kali ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Azizan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid bahawa BN akan merampas semua kerusi yang dimenangi PAS dalam pilihanraya umum akan datang.
Peranan SPR
Azizan mendakwa, halangan utama PAS untuk menawan Kedah ialah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang memainkan peranan untuk memenangkan calon BN dalam pilihanraya lalu.
Beliau berkata, antara faktor menyebabkan PAS kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu ialah tindakan SPR yang membuat persempadanan semula.
Selain itu, katanya, PAS mahu pilhanraya umum dijalankan dengan adil dan telus termasuk penggunaan dakwat celup seperti yang digunakan di India, Bangladesh dan Indonesia.
"Adalah tidak munasabah isteri polis masih didaftarkan sebagai pengundi pos sedangkan tujuan undi pos adalah untuk anggota polis, tentera dan kakitangan kedutaan di luar negara," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang, Mohd Haryati Othman berkata, antara isu PAS Kedah dalam pilihanraya umum akan datang ialah ketiadaan pembangunan terutama di kawasan luar bandar.
Katanya, di sesetengah kawasan, masih ada penduduk yang tidak mendapat bekalan asas seperti bekalan air paip seperti yang dialami penduduk Kampung Cherok Tok Min, Alor Setar.
"Apalah erti pembangunan jika masih ada penduduk yang menggunakan perigi sebagai sumber untuk air minuman.
"Pembangunan pesat ekonomi yang diwar-warkan hanya indah khabar dari rupa kerana apa yang berlaku rakyat tidak menikmati faedah yang sewajarnya," katanya.

