Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

LANGSUNG | Undian di kerusi parlimen Padang Serai di Kedah dan kerusi DUN Tioman di Pahang telah ditutup.

Malaysiakini membawakan anda kemas kini keputusan secara langsung.


PN ‘racuni’ Undi18 - Sofee

11.30 malam – Calon PH Mohamad Sofee Razak menghormati keputusan pengundi Padang Serai tetapi katanya pertandingan ini tidak setara kerana lawannya daripada PN menggunakan sentimen kaum dan agama untuk “menakut-nakutkan pengundi Melayu di kawasan luar bandar."

“Pemimpin PN menggunakan isu perkauman dan agama untuk meracuni fikiran Undi18 kerana mereka tidak tahu apa-apa dan mereka percaya pembohongan pemimpin PN bahawa terdapat ancaman kepada orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Ia tidak benar tetapi pemimpin PN memanfaatkan isu ini untuk menang pilihan raya. Mereka menggunakan isu ini sebagai peluru mereka untuk memenangi pilihan raya,” katanya.

Sofee memberi amaran bahawa "racun" yang disemai oleh PN dalam minda anak muda ini akan diturunkan kepada generasi akan datang.

“Ia sangat bahaya untuk generasi akan datang dan masa depan negara.

“Saya harap dan percaya kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan membetulkan masalah yang membarah ini dalam tempoh lima tahun akan datang untuk membawa negara dan golongan belia ke arah yang betul,” katanya.


Gelombang biru PN terus bergelora

10:55 malam - Gelombang sokongan terhadap PN nampaknya belum reda di Kedah selepas calon mereka Azman Nasrudin, 50, secara rasmi diumum sebagai pemenang dalam pilihan raya parlimen itu, malam ini.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas memperoleh sejumlah 51,637 undi menewaskan lima calon lain dengan majoriti 16,260 undi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Mohamad Sofee Razak ditempat kedua tertinggi dengan 35,377 undi diikuti calon Barisan Nasional (BN) C Sivarraajh 2,983 undi.

Selain itu calon bebas Sreanandha Rao memperolehi 846 undi diikuti calon Pejuang Hamzah Abd Rahman 424 undi, dan calon Warisan Mohd Bakhri Hashim dengan 149 undi.

Sebelum ini Sivarraajh dan Mohd Bakhri mengumumkan menarik diri daripada pilihan raya itu bagi memberi laluan kepada Mohamad Sofee, namun nama mereka tetap dipaparkan pada kertas undi

Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai Abdul Bari Abdullah di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim.

Menurutnya peratusan keluar mengundi selepas semua 46 pusat pengundian ditutup 6 petang tadi adalah 68.95 peratus daripada 132,955 orang pengundi biasa dan 753 undi ditolak.

Turut kelihatan hadir Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.


PN raih 56.5 peratus undi popular

10.40 malam: Dengan semua 233 peti undi dikira, PN menang kerusi Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi, dan meraih 56.5 peratus undi popular.

PH pula hanya memperoleh 38.7 peratus undi.

Pada 2018, PH - dengan sokongan Bersatu - memenangi kerusi itu dengan hanya 45.3 peratus undi selepas sebilangan besar pengundi pembangkang menyokong PAS - yang menerima 32.7 peratus undi.

Sementara itu, BN masih mendapat 2,983 undi pada pengundian hari ini walaupun menarik diri daripada bertanding.

Bagaimanapun, dengan hanya 3.3 peratus undian, BN akan hilang depositnya.

Pejuang, Warisan, dan calon bebas juga akan hilang wang pertaruhan mereka.

Kemenangan PN di Padang Serai bermakna ia kini mempunyai 74 kerusi di Parlimen.

Di Tioman, BN memenangi kerusi itu dengan 48.9 peratus undi - manakala Harapan mendapat 4.7 peratus.

PN memenangi 45.5 peratus undi di kerusi DUN Pahang.


Tidak rasmi: PN menang Padang Serai

10.20 malam: Dengan anggaran 70 peratus keluar mengundi, dan 214 daripada 233 peti undi dikira, Malaysiakini menyimpulkan kerusi Padang Serai dimenangi PN.

PN mendahului PH dengan 16,000 undi dan telah melepasi paras ambang 50 peratus undi yang dianggarkan oleh Malaysiakini.

PKR memegang kerusi Padang Serai sejak pilihan raya umum 2008.


Rasmi: BN pertahan DUN Tioman

9.50 malam: BN secara rasmi menang di Tioman dengan majoriti 573 undi.

Calon PH yang menarik diri daripada bertanding kehilangan deposit begitu juga Pejuang dan calon bebas Sulaiman Bakar.

Pejuang juga dijangka hilang deposit di Padang Serai.


Majoriti PN terhadap PH kini lebih 12,000 undi

9.40 malam - Walaupun terdapat anggaran 28,000 undi yang belum dikira, trend pengiraan undi ini tidak kelihatan baik untuk PH.

Kemenangan tidak rasmi boleh dicapai oleh PN.


Ratusan penyokong PN berhimpun

9:15 malam: Di pusat penjumlahan undi rasmi Kompleks Sukan Kulim Hi-tech kini menyaksikan kiraan undi sedang berlangsung.

Tinjauan Malaysiakini mendapati sekitar kawasan ini turut dibanjiri dengan ratusan penyokong PN.

Beberapa gerai makanan dan minuman turut dibuka oleh peniaga tempatan.

Sementara itu turut kelihatan petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih lagi membawa peti-peti undi yang baru tiba.


PN dahului hampir 10,000 undi di Padang Serai

9.10 malam - Dengan 114 daripada 233 kotak dikira, PN mendahului di Padang Serai dengan hampir 10,000 undi.

Azman Nasruddin dari PN memperoleh 25,347 undi, manakala Mohamad Sofee Razak daripada PH memperoleh 15,685 undi.

Sementara itu, calon BN C Sivarraajh memperoleh 1,614 undi walaupun telah menarik diri daripada pertandingan.


Tak rasmi: BN menang di Tioman

8.20 malam - BN telah memenangi Tioman mengikut keputusan tidak rasmi.

BN menang dengan majoriti 600 undi menentang PN.

PH, yang menarik diri daripada bertanding masih memperoleh 791 undi.


PN di depan dengan 4,500 undi

8 malam: PN memperkukuh kedudukannya di Padang Serai apabila mendahului dengan 4,500 undi, menurut keputusan tidak rasmi.

Kira-kira 18,000 undi telah dikira setakat ini.

Malaysiakini menjangkakan terdapat kira-kira 90,000 undi secara keseluruhan, jadi masih ada banyak lagi undi untuk dikira sebelum pemenang boleh diumumkan.


PN mendahului kiraan di Padang Serai

7.50 malam: Keputusan tidak rasmi meletakkan PN mendahului di Padang Serai dengan kira-kira 700 undi.

Di Tioman, persaingan sengit antara BN dan PN menghampiri garisan penamat.

Keputusan tidak rasmi menjadikan BN mendahului dengan 7,222 undi, manakala PN mempunyai 6,564 undi.

Sementara itu, nampaknya tidak semua penyokong PH mengundi BN, dengan 713 undi diberikan kepada calon Amanah yang telah menarik diri daripada bertanding.


Persaingan sengit BN, PN di Tioman

7.30 malam - Berdasarkan keputusan tidak rasmi, BN mendahului dengan 5,700 undi manakala PN dengan 5,046 undi.

Sementara itu, tidak semua penyokong PH nampaknya mengundi BN, dengan 552 undi diberikan kepada calon Amanah yang telah menarik diri daripada bertanding.


Keadaan tenang di bilik gerakan PH di Padang Serai

6.50 petang - Pekerja parti sedang makan malam di bilik gerakan PH di Padang Serai, sementara menunggu keputusan masuk.

Calon mereka Mohamad Sofee Razak belum tiba, dan masih belum kelihatan kelibat penyokong atau pemimpin BN.


Peti undi tiba di pusat penjumlahan Tioman

6.30 petang: Kiraan undi masih berjalan. Video Facebook secara langsung oleh SPR menunjukkan pengiraan berlaku di pusat pengundian.

Dilaporkan lapan daripada 55 peti undi telah diterima di pusat penjumlahan Tioman - dengan 730 undi untuk BN dan 434 undi untuk PN.


54 peratus keluar undi di Tioman setakat jam 4

6 petang: Peratusan terakhir bagi Padang Serai dan Tioman belum dikeluarkan.

Bagaimanapun, setakat pukul 4 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan bahawa peratusan keluar mengundi ialah 63 peratus di Padang Serai (naik 6 peratus daripada 3 petang), dan 54 peratus di Tioman - iaitu 4 peratus lebih tinggi daripada sejam sebelumnya.

Pusat mengundi masih dibuka sehingga 6 petang hari ini.


Lihat Komen
ADS