Saman Rufaqa: Exco kjaan Sgor fail pembelaan
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal-Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, hari ini memfailkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan saman yang dikemukakan oleh Rufaqa Corporation di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Januari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal-Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, hari ini memfailkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan saman yang dikemukakan oleh Rufaqa Corporation di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Januari lalu.
Abdul Rahman, melalui syarikat guaman Shukor Baljit & Partners, memohon kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak dengan kos, writ saman dan pernyataan tuntutan oleh pihak plaintif.
Dalam pembelaan itu, Abdul Rahman antaranya menyatakan yang defendan menulis, mencetak, menerbitkan, menyebabkan ditulis, dicetak dan diterbitkan dalam sebuah akhbar tempatan sebelum ini, seperti didakwa oleh pihak plaintif, adalah terkeliru dan tidak boleh dipertahankan di sisi fakta dan undang-undang.
Menurut laporan Bernama, pernyataan itu juga menyebut perkataan itu juga secara prima facie bukan ungkapan yang dipetik daripada pertuturan defendan dan ia tidak menzahirkan dan mengisytiharkan bahawa ia dipetik daripada kata-kata atau pertuturan defendan.
Abdul Rahman seterusnya mengemukakan penafian pada perenggan enam tuntutan pihak Rufaqa Corporation yang menyebut pihak plaintif telah mengalami kerosakan dan kerugian.
Pernyataan pembelaan itu juga menyebut bahawa defendan mempunyai bukti bahawa bekas pemimpin kanan al-Arqam yang menerajui plaintif menggunakan plaintif sebagai pelindung baru untuk menghidupkan semula ajaran al-Arqam yang diharamkan.
Dikaitkan dengan al-Arqam
Rufaqa Corporation, yang dikaitkan dengan bekas kumpulan al-Arqam, sebelum ini memfailkan saman terhadap Abdul Rahman bagi menuntut, antara lainnya, gantirugi libel sebanyak RM50 juta.
Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pula hari ini menetapkan 2 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dua bekas pengikut kumpulan al-Arqam yang didakwa cuba menghidupkan semula ajaran sesat itu.
Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan pertuduhan dibacakan terhadap seorang lagi pengikut kumpulan itu dan membuat keputusan berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Ini kerana seorang lagi bekas pengikut Al-Arqam, Mohd Zamri Azhar @ Nadzri yang sepatutnya didakwa hari ini, tidak hadir di mahkamah untuk mendengar pertuduhan ke atasnya.
Jumaat lalu, Nordin Ibrahim, 62, dan Hamdan Mohd Nur, 38, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan hakim sama.

