Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suami ditembak, isteri disyaki tipu skim pelaburan
Diterbitkan:  Dec 8, 2022 7:27 AM
Dikemaskini: 11:27 PM

Seorang juruteknik mengalami kecederaan di bahagian lengan kanan dan leher, susulan ditembak seorang individu yang dipercayai menjadi mangsa penipuan wang skim pelaburan isterinya di hadapan rumahnya di Jalan Limau Kasturi, Taman Wangi, Klang pada 7.10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata mangsa 46 tahun itu, cedera akibat tembakan yang dilepaskan seorang lelaki disyaki warga tempatan yang tidak dikenali, menaiki sebuah motosikal serta memakai topi keledar berpelindung matahari gelap semasa kejadian berkenaan.

Cha berkata pihaknya terdahulu menerima panggilan daripada seorang wanita warga tempatan pada 8.55 pagi tadi, memaklumkan bahawa suaminya telah ditembak di hadapan rumah mereka.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian lengan kanan dan bahagian leher.

Dua pucuk pistol, tiga das tembakan

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan X-Ray mendapati satu biji kelongsong disyaki peluru berada dalam lengan kanan mangsa,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Hasil siasat pihaknya, Cha berkata suspek telah melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dengan menggunakan dua pucuk pistol yang berlainan.

Beliau berkata pemeriksaan unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, menemukan beberapa barang termasuk dua objek logam disyaki kelongsong peluru di lokasi kejadian.

Susulan itu, Cha meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan, untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hazri Raziff di talian 0183204914 atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS