Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG: Azeez dibebas sebab tiada keterangan memihak pendakwaan

Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak meneruskan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Abdul Azeez Abdul Rahim kerana tiada keterangan serta fakta yang memihak kepada pendakwaan.

Peguam Negara Idrus Harun menerusi kenyataan hari ini memaklumkan semenjak pemfailan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Abdul Azeez melalui peguamnya telah mengemukakan beberapa representasi kepada AGC agar kes terhadapnya ditarik balik dan kesemua pertuduhan dibatalkan.

Dia berkata melalui representasi bertarikh 11 dan 16 Mac 2022, pendakwaan telah menerima enam akuan berkanun daripada saksi utama pendakwaan yang menyebabkan satu siasatan menyeluruh dan teliti perlu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana terdapat bukti baru yang tidak dipertimbang sebelum ini.

Katanya pada 23 Sept lepas, pihak pendakwa raya memohon kepada mahkamah satu perintah pelepasan tanpa terjumlah kepada pembebasan terhadap Abdul Azeez mengikut Seksyen 254(2) Kanun Tatacara Jenayah agar siasatan lanjut dapat dibuat dan Mahkamah Sesyen membenarkan Abdul Azeez dilepas tanpa dibebaskan.

“Perkembangan siasatan telah dirujuk semula kepada pihak pendakwaan dan pihak pendakwaan berpuas hati bahawa tiada keterangan dan fakta yang memihak kepada pihak pendakwaan.

“Pada 1 Dis 2022, Abdul Azeez melalui peguamnya telah memfailkan permohonan untuk pelepasan dan pembebasan daripada kesemua pertuduhan.

“Setelah kertas siasatan diteliti, jabatan ini bersetuju untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Abdul Azeez dan tidak membantah permohonan pelepasan dan pembebasannya hari ini,” kata peguam negara.

Idrus Harun

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid hari ini membebaskan bekas ahli parlimen Baling itu selepas membenarkan notis usul difailkan peguam Amer Hamzah Arshad supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.

Sebelum ini, Abdul Azeez, 56, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lima bank di ibu negara antara 6 Sept 2010 dan 10 April 2018.

Abdul Azeez juga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan semua pertuduhan.

Pada 5 Sept lepas, Abdul Azeez gagal dalam rayuannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah, namun Mahkamah Rayuan membenarkan sebahagian rayuannya dengan membatalkan empat daripada 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

-Bernama

Lihat Komen
ADS