Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu kesal tindakan Hajiji tapi yakin parti tak terkubur di Sabah
Diterbitkan:  Dec 10, 2022 4:26 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Saifuddin Abdullah, kesal dengan tindakan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, yang meninggalkan parti itu bersama-sama wakil rakyat mereka secara beramai-ramai hari ini.

Bagaimanapun, kata Saifuddin, dia menganggap langkah dibuat mereka itu tidak akan menyebabkan Bersatu terkubur di Sabah.

Ahli parlimen Indera Mahkota itu juga berpendapat langkah diambil Hajiji dan wakil rakyat lain tidak melanggar akta antilompat parti kerana sidang dewan undangan negeri (DUN) di Sabah belum meluluskan akta itu

"Sebagai ahli MPT Bersatu dan ketua Badan Perhubungan Bersatu Pahang, sudah tentu saya kesal dengan tindakan teman saya di Sabah.

"Ini kerana mereka dahulunya memenangi kerusi atas nama Bersatu,” katanya pada sidang media Kuantan, hari ini.

Saifuddin memaklumkan, Bersatu masih wujud di Sabah kerana ada ahli parlimen dan pimpinan parti berkenaan di negeri terbabit selain Hajiji.

Dia turut menegaskan Bersatu Pahang akan setia kepada parti dan kekal bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk menjadi pembangkang yang berkesan.

"Kami akan terus fokus sebagai pasukan pembangkang yang konstruktif dan pada masa sama melakukan penambahbaikan.

"Seperti dalam mesyuarat ahli parlimen Bersatu sebelum ini, saya mencadangkan tiga perkara iaitu mengolah balik matlamat Bersatu yang ditubuhkan bagi menggantikan Umno.

"Selain itu, Bersatu juga perlu memperkasakan sayap bersekutu untuk menarik lebih ramai penyertaan bukan Melayu dan bukan bumiputera.

"Akhir sekali, Bersatu perlu meningkatkan program pentadbiran parti supaya memiliki jentera pilihan raya yang komited dan mantap," katanya lagi.

Terdahulu, Hajiji dalam satu kenyataan media pagi tadi mengumumkan keputusan sebulat suara untuk meninggalkan Bersatu Sabah namun kekal di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini terutama di Sabah, dan demi kepentingan negeri.

Katanya, keputusan itu juga adalah bagi memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

Pada 5 Dis lalu sebuah lagi parti gabungan PN, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) juga menyatakan hasrat untuk meninggalkan gabungan terbabit.

Presidennya Jeffrey Kitingan berkata pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat tidak lama lagi.

Lihat Komen
ADS