Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan lulus peruntukan RM30 juta untuk kamera badan PDRM
Diterbitkan:  Dec 13, 2022 4:50 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi perolehan kamera badan untuk kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menjalankan tugas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika ini proses perolehan sedang dilaksanakan dan berharap tiada sebarang masalah untuk mendapatkan kamera badan berkenaan.

"Saya harap perolehan ini dapat disegerakan memandangkan ia merupakan satu keperluan pada masa kini dan telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian untuk tindakan susulan," katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 Saifuddin berkata ia akan berkuat kuasa Jun tahun depan.

Rang Undang-undang berkenaan diluluskan pada 26 Julai lepas bertujuan mempertingkatkan integriti, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota polis dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan itu.

Mengenai persiapan banjir terutama di negeri-negeri pantai timur, Saifuddin berkata PDRM telah bersiap sedia sepenuhnya termasuk daripada aspek aset untuk memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara.

Menurut beliau 18,170 anggota PDRM telah diatur tugas bagi menghadapi musim monsun kali ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS