DCA luluskan vaksin Pfizer yang dikemas kini
Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) telah memberikan kelulusan bersyarat untuk vaksin Covid-19 Pfizer yang dikemas kini, membuka jalan untuk ia dilancarkan sebagai suntikan penggalak di Malaysia.
Formulasi baru vaksin Corminaty ialah vaksin bivalent yang mengandungi komponen strain Covid-19 asal yang pertama kali dikesan di Wuhan pada 2020, serta strain subvarian Omicron BA.4-5 yang lebih terkini.
"Ia adalah untuk penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas yang telah menerima vaksinasi primer dengan vaksin Covid-19 mRNA atau vaksin Covid-19 adenoviral vektor lain yang diluluskan, sekurang-kurangnya selepas tiga bulan daripada penerimaan dos primer yang telah lengkap atau dos penggalak yang terakhir,” kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat DCA hari ini.
Mengehadkan vaksin yang dikemas kini kepada mereka yang sebelum ini menerima vaksin mRNA atau adenoviral bermakna hanya mereka yang sebelum ini menerima vaksin Covid-19 Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson untuk vaksinasi utama layak untuk penggalak yang dikemas kini, tetapi bukan mereka yang sebelum ini menerima Sinovac, Sinopharm dan CanSino.
Bagaimanapun, dia tidak menyatakan bilakah vaksin baru itu akan tersedia di fasiliti penjagaan kesihatan di negara ini, dan cara mendapatkan vaksin itu.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin berkata vaksin bivalent berkenaan akan tiba di Malaysia pada minggu ketiga atau keempat November.
Dilaporkan bahawa penggalak baru memberikan perlindungan yang lebih baik terhadap subvarian Omicron BA.5 berbanding rumusan asal, walaupun prestasinya dengan varian yang lebih baru seperti XBB dan BQ.1 masih dikaji.
Sementara itu, Noor Hisham berkata DCA juga telah memberikan kelulusan bersyarat untuk Solution Biologics Sdn Bhd untuk mengeluarkan vaksin Convidecia CanSino.
Ia merupakan kemudahan pembuatan kedua yang diberikan kelulusan untuk menghasilkan vaksin untuk Malaysia, selepas kelulusan kemudahan Cansino sendiri di China pada Jun 2021.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/02/ffa4f4482245402f6f31f03da655762c.jpg)
