Presiden MCA Wee Ka Siong mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Putrajaya pagi ini.

Hadir bersama seorang lagi anggota parlimen parti itu Wee Jeck Seng, pertemuan susulan undangan Anwar itu berlangsung kira-kira setengah jam.

Mengucapkan tahniah atas pelantikan Anwar sebagai perdana menteri, Ka Siong berkata pertemuan banyak menyentuh tentang isu-isu rakyat dan negara. 

Katanya, dia juga mengutarakan isu-isu komuniti Cina serta bertukar pendapat mengenai masalah inflasi dan kos sara hidup, perkembangan politik terkini dan cara menarik pelaburan asing terutama dari China.

China, katanya, mempunyai potensi besar untuk melabur di Malaysia.

“Semoga kerajaan di bawah pimpinan PM10 akan terus maju, stabil dan pulih dalam era pascapandemik,” katanya.

Pertemuan itu berlangsung beberapa hari sebelum usul percaya terhadap perdana menteri Isnin depan. 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 30 November mendakwa Perikatan Nasional (PN) memiliki akuan bersumpah (SD) daripada MCA dan MIC yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.