Selepas melakukan tinjauan terhadap perkhidmatan LRT minggu lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini meninjau perkhidmatan KTM Komuter dan keadaan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Loke berkata dia menaiki KTM Komuter dari stesen KL Sentral ke stesen Bandar Tasik Selatan dengan ditemani dua pembantu petang tadi.

“Saya menerima banyak maklum balas dari media sosial berkenaan perkhidmatan Komuter dan masalah mencetak Pas Masuk Bas di TBS.

“Saya akan berjumpa dengan pihak pengurusan KTMB dalam masa terdekat untuk membincangkan cara untuk menambahbaik dan menambah kekerapan perkhidmatan Komuter,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menteri itu berkata dia difahamkan KTMB menghadapi pelbagai kekangan operasi yang disebabkan oleh projek menaiktaraf landasan KVDT1 yang masih belum siap dan KVDT2 yang tergendala.

“Saya juga akan berjumpa dengan pihak pengurusan TBS untuk membincangkan kesiapsiagaan untuk menguruskan jumlah penumpang yang ramai pada hujung minggu dan musim perayaan,” katanya.

Gambar yang dia siarkan di Facebook menunjukkan Loke berpakaian kasual, dengan memakai topi dan pelitup muka bagi menyembunyikan identitinya.

Pada hari pertamanya ketika kembali bertugas pada 5 Dis lalu, Loke melakukan tinjauan dan menggunakan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya pada waktu puncak bagi mengalami keadaan sebenar yang dihadapi penumpang setiap hari.