Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Mencari tempat OKU dalam 7 teras pendidikan KPM

Puluhan tahun silam di sebuah sekolah rendah dalam kampung yang tidak penting mengikut percaturan negara (kecuali untuk undi penduduknya bagi membawa orang politik ke Dewan Undangan Negeri Perak dan Dewan Rakyat).

Ada seorang pelajar yang 'pendiam' dan langsung tidak menarik perhatian sesiapa. Dia anak orang kampung Sungai Lampam yang sangat sederhana.

Setiap tengah hari kelihatan dia membonceng motosikal yang dibawa bapanya untuk balik. Si bapa merupakan lelaki yang bermuka agak garang. Misai yang hitam dan melintang itu menjadikan dia lebih serius.

Selain wajah itu, pada kulitnya adalah kesan bakaran matahari yang memanggang ketika dia - dan kami penduduk kampung - gigih mengerjakan sawah dengan kudrat yang ada.

Pelajar itu adalah pelajar yang biasa saja, selain agak lembam. Dalam keadaan begitu tidak aneh apabila budak yang masih mentah boleh terfikir: untuk apa si bapa berkenaan gigih menghantar dan mengambil pelajar terbabit ke sekolah setiap hari?

Kemudian masa pun berganjaklah ke depan, lebih 40 tahun kemudian. Tarikh tepatnya, 19 Nov 2022.

Di saluran satu sebuah pusat pengundian di Sungai Buloh, Selangor. Ada seorang bapa dengan anak lelakinya menyertai sekumpulan warga emas yang menunggu giliran untuk mengundi.

Petugas banyak membantu

Si bapa belum mencapai status warga emas, justeru dia tidak layak mengundi di situ, tetapi anaknya.

Pemuda berusia 19 tahun itu akan mengundi buat kali pertama. Dia - bersama sejumlah anak muda lain - merupakan pengundi kategori orang kurang upaya (OKU). Mereka dipantau oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ada bangku berbaris-baris disusun untuk pengundi duduk.

Petugas terbabit kelihatan biasa-biasa saja dan tidak menunjukkan perhatian lebih kepada pengundi muda terbabit di sebalik hakikat saluran satu itu umumnya khas untuk warga emas.

Mereka mungkin terlupa bahawa selain warga emas, saluran satu juga dikhususkan kepada pengundi dalam kategori OKU dan sudah tentu golongan berkenaan tidak terhad definisinya kepada keterbatasan fizikal.

Kebanyakan pengundi OKU itu bersendirian tanpa bantuan ahli keluarga. Mereka juga bekas pelajar kelas yang mengikuti program pendidikan khas integrasi (PPKI) di sekolah tersebut.

Petugas SPR berkenaan nampaknya tidak menyedari atau banyak membantu sehinggalah hal tersebut dikemukakan kepada salah seorang daripada mereka.

Ketua tempat mengundi - yang juga seorang guru di sekolah berkenaan - lantas bertindak segera untuk memberi panduan. Ia ternyata banyak membantu pengundi OKU berkenaan, terutama dalam kalangan mereka yang datang bersendirian.

Syabas dan terima kasih kepada pegawai terbabit.

Bergerak ke depan lagi, ke tarikh semalam. Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengadakan sidang media khas untuk membentangkan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta menetapkan hala tuju badan berkenaan.

Dan tentu ramai yang tercari-cari di mana menteri terbabit meletakkan isu pelajar OKU dalam aspirasi KPM kali ini. Itu pun jika ada terselit dalam mana-mana satu daripada tujuh teras yang dibentangkan.

Sudah tentu jika ditanyakan, sama seperti mana-mana orang politik, menteri terbabit sudah pasti akan menegaskan bahawa tidak ada sesiapa pun yang diketepikan.

Ia pernah dilakukan oleh menteri-menteri terdahulu, khususnya - yang seperti Fadhlina semalam - gagal meletakkan golongan istimewa berkenaan di tempat yang melegakan.

Dan seperti selalu, kita pun melihat bagaimana kerajaan 'seolah-olah' menganggap golongan OKU sebagai kelompok marginal jika pun tidak dilihat menyusahkan.

Maszlee Malik pernah memberikan harapan yang segar lagi tinggi buat pelajar OKU dan keluarga masing-masing. Ia berterusan begitu sehinggalah berlakunya detik Langkah Sheraton.

Menteri selepasnya mungkin memiliki perancangan sendiri namun harapan yang dibawa sewaktu Maszlee berada di KPM kelihatan dicicirkan.

Ada yang tidak tuntas

Pelantikan menteri baru oleh perdana menteri ke-10 memang membawa rasa teruja dan harapan yang tinggi sekali lagi. Tetapi setakat ini harapan yang tinggi itu hanya menghasilkan natijah yang menggayatkan orang ramai saja.

Sudah tentu tidak perlu bagi sesiapa pun untuk mengingatkan Fadhlina bahawa beban yang digalasnya di KPM itu sangat besar. Tumpuan yang banyak akan diberikan kepadanya, terutama dengan imej wanita pertama yang diberi kepercayaan sebagai menteri pendidikan.

Mengikut tradisinya menjadi menteri pendidikan adalah tugas yang sangat menjanjikan. Lihat saja senarai para menteri pendidikan terdahulu, dan di mana mereka akhirnya sampai dalam politik.

Tujuh daripada 20 mereka melangkah jauh sehingga menjadi perdana menteri, manakala sebahagian besar yang lain masih dikenang-kenang sebagai negarawan yang banyak berjasa.

Justeru Fadhlina harus menjadi lebih ramah untuk menyantuhi semua golongan termasuk golongan OKU. Jika dia sudah melakukannya, sudah tentu ada yang tidak tuntas apabila keramahan itu tidak kelihatan pun kepada orang ramai.

Maszlee mungkin pernah dilihat untuk hal-hal yang sampingan dan menjejaskan. Itu adalah salah Maszlee atau pegawai dia, namun dari aspek menyantuni golongan OKU, bekas ahli parlimen itu layak dipuji.

Benar, masa masih awal untuk seorang menteri seperti Fadhlina menguruskan semua isu yang berlegar dalam sektor pendidikan. Tetapi golongan OKU sudah pasti bukanlah kelompok yang wajar dikemudiankan.

Isu pendidikan bukan sekadar silibus untuk pelajar mencapai gred A yang berderet-deret, juga tidak cuma untuk memuaskan hati ibu bapa yang serakah mahu melihat anak masing-masing dilakar namanya sebagai murid cemerlang di sekolah.

Hak untuk mendapat pendidikan itu wajib difahami, termasuk untuk pelajar OKU seperti yang mengalami masalah pembelajaran, autistik, disleksia, palsi serebrum, ADHD, dan seumpamanya.

Lebih daripada itu, ia bukan sekadar memberikan hak tersebut malah bagaimana ia dilaksanakan, kemudahan yang patut ada, galakan yang ditawarkan serta sistem sokongan yang lengkap.

Ia boleh dimulakan dengan memberikan sedikit ruang kepada OKU dalam teks ucapan atau penjelasan seorang menteri. Pendidikan OKU bukanlah isu yang boleh dipolitikkan, tetapi ia mesti ditangani dengan kuasa politik.

Dengan apa yang ada sekarang pun nasib dan masa depan pelajar OKU masih samar-samar, entah bagaimana pula jika ia terus dianggap tidak penting atau remeh.

Fadhlina perlu tahu, di negara ini ada begitu ramai pengundi dalam kategori OKU. Selain itu ramai juga dalam kalangan pengundi itu ahli keluarga kepada OKU.

Bersama mereka adalah harapan untuk nasib dibela dari semasa ke semasa. Atau sekurang-kurangnya dilihat penting oleh KPM. Selain orang awam, tidak semua kakitangan kementerian benar-benar memahami serta menyelami keperluan seseorang OKU.

Mungkin tidak ada menteri pendidikan yang dimaklumkan bahawa pernah berlaku kejadian sekumpulan pelajar OKU yang gagal diuruskan dengan baik oleh sebuah sekolah pendidikan khas berasrama ketika mereka mahu pulang ke rumah masing-masing.

Juga bagaimana ada pelajar yang dimarahi guru kerana tertinggal bas ekspres untuk pulang sedangkan mereka OKU yang sepatutnya dipantau pergerakan sehingga keadaan benar-benar selamat.

Dan sebenarnya kita sendiri tidak boleh menjamin bahawa takdir mendidik dan membesarkan seorang anak OKU itu tidak akan datang mengetuk pintu rumah kita suatu hari nanti.

Kalaulah Fadhlina boleh melihat dan menyelami wajah seorang ayah yang gigih menghantar dan mengambil anaknya yang 'lembam' menaiki motosikal berpuluh-puluh tahun lalu....


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang masih tidak dapat melupakan harapan yang diisyaratkan pada wajah lelaki bermisai melintang yang dilihatnya lebih 40 tahun silam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS