BN, GPS, GRS, Warisan meterai memorandum dengan PH
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin empat gabungan lain yang menjadi sebahagian daripada kerajaan semasa secara rasmi memeterai memorandum persefahaman hari ini.
Selain Anwar yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Presiden Warisan Shafie Apdal hadir pada majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan ditandatangani oleh setiausaha agung gabungan politik masing-masing iaitu Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Zambry Ab Kadir (BN); Alexander Nanta Linggi (GPS); Marsidi Manjun (GRS) dan Loretto S Padua Jr (Warisan).
Sambil menyifatkan ia sebagai detik bersejarah dalam politik negara, Anwar berkata kerjasama ini mempunyai hala tuju jelas dalam memastikan kerajaan yang stabil dan mampu menumpukan kepada tadbir urus yang baik dan membangunkan ekonomi.

“Kita capai persefahaman atau muafakat dengan hala tuju jelas membangun negara, menjamin supaya sistem stabil dan tumpu perhatian untuk mengangkat martabat negara kita sebagai negara yang maju.
“Dalam memorandum ini, saya ingin jelaskan yang disepakati bukan soal kedudukan atau habuan tetapi dasar berasaskan tata kelola yang baik dan memacu ekonomi secara segar dan meyakinkan.
“Saya telah diberikan kepercayaan serta terharu dengan bentuk sokongan dan juga komitmen bersama sebagai satu pasukan mantap (di bawah) kerajaan perpaduan,” katanya.
Menurut Anwar, perjanjian itu juga akan membolehkan mereka menghadapi apa jua permasalahan di Parlimen dan di luar dengan satu suara iaitu kerajaan perpaduan Malaysia.
Selain mengutamakan tata kelola yang baik dan ekonomi, Anwar berkata tumpuan mereka juga adalah kepada Perjanjian Malaysia 1963 serta pembangunan dan dasar di Sabah dan Sarawak.

Katanya, dia sudah berjanji kepada Abang Johari dan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bahawa isu kewangan yang membabitkan abah dan Sarawak akan diteliti dan dibawa ke mesyuarat kabinet minggu depan supaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata hal membabitkan kewangan di Sabah serta Sarawak sedang dirangka oleh Kementerian Kewangan dan akan diserah kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk dipengerusikannya.
“Mana yang boleh dilaksanakan, saya beri tempoh satu bulan. Hal menyangkut kewangan umpamanya juga jadi isu besar di Sabah dan Sarawak, soal kuasa untuk luluskan projek dan juga pengiktirafan kepada tenaga jentera di Sabah dan Sarawak.
“Itu dah disiapkan Kementerian Kewangan dan akan menyerahkannya kepada Fadillah untuk mempengerusikan.
“(Ia) akan diangkat semula untuk kepada saya untuk dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada memorandum itu akan memastikan kerajaan yang stabil dan berkekalan untuk lima tahun akan datang, Anwar berkata dia "begitu bersemangat" dengan kepercayaan dan komitmen yang diberikan oleh parti-parti yang terlibat dalam memorandum itu.
Menurutnya, rundingan itu tidak begitu sukar kerana masing-masing boleh bersetuju dengan parameter dan dasar bersama.
Berikut perjanjian penuh itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/f1821e8e71f0bc016bfee5edb7744ea0.jpg)
