Kerajaan mesti menetapkan senarai piawaian keselamatan yang mesti dipatuhi oleh semua penyedia perkhemahan, bagi mengelak tragedi tanah runtuh di Batang Kali berulang.
Saranan itu dikemukakan Pengarah Asia Camp Sdn Bhd, Mohd Azizan Yunus, yang berpengalaman lebih sedekad mengendalikan aktiviti perkhemahan di seluruh negara termasuk di Taman Negara.
"Mewujudkan Risk Assesment Management System pada setiap awal tahun bagi membaca kemungkinan kemalangan.
"Pengendali aktiviti di tapak khemah mesti memiliki sijil kelayakan menjalankan aktiviti," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Selain itu, tambahnya, pengusaha tapak perkhemahan juga perlu menyediakan peta laluan pemindahan dan tempat berkumpul, sekiranya berlaku bencana.
Menurut Azizan, kakitangan yang ditugaskan untuk mengendalikan aktiviti perkhemahan harus cekap dalam memberikan pertolongan cemas sebelum ketibaan profesional perubatan, sekiranya berlaku kemalangan.
"Mewujudkan borang maklum balas peserta bagi mengawal risiko endemik (risiko berulang-ulang yang kecil seperti kerosakan infrastruktur).
"(Selain) mendapatkan khidmat nasihat pakar berkaitan cerun bagi pemilik tapak khemah yang berada di kaki bukit atau tempat tinggi," katanya.
Tegasnya, dengan aktiviti tapak perkhemahan kini menjadi industri, dan tarikan pelancong, sudah tiba masanya kerajaan memanggil semua pihak berkepentingan untuk membentangkan cadangan untuk menjadikan aktiviti itu lebih selamat.
