Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
View Point Wang Kelian mula caj pengunjung
Diterbitkan:  Dec 21, 2022 1:00 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Jabatan Perhutanan Negeri Perlis mengenakan bayaran masuk RM2 kepada pengunjung View Point Wang Kelian bermula hari ini bagi menampung kos penyelenggaraan. 

Exco Pelancongan negeri Wan Badariah Wan Saad berkata bayaran itu ditetapkan pada kadar minimum agar tidak membebankan orang ramai khususnya warga tempatan yang ingin menikmati pemandangan indah di tempat tarikan pelancong itu.

“Bayaran yang dikenakan ini adalah bagi memastikan keperluan asas dan penyelenggaraan berada dalam keadaan baik dan memastikan ia terus dipelihara untuk keselesaan pengunjung,” katanya kepada pemberita luar di luar dewan selepas sesi soalan lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Pertama DUN Perlis ke-15 hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer itu berkata kanak-kanak hanya dikenakan bayaran RM1, manakala warga asing RM5.

“… tiada bayaran dikenakan bagi pengunjung OKU (orang kurang upaya) dan kanak-kanak di bawah enam tahun,” katanya.

Perjalanan ke View Point Wang Kelian yang terletak di Taman Negeri Perlis mengambil masa kira-kira 30 minit dari Kangar.

Pelantar yang berkedudukan lebih kurang 300 meter dari aras laut itu menyajikan panorama kehijauan hutan dan Tasik Timah Tasoh.

 Selain itu, Wan Badariah berkata pelbagai perancangan sedang dirangka bagi menambah baik tarikan pelancongan sedia ada di negeri ini.

“Kita akan memastikan perancangan yang dibuat oleh kerajaan akan dilaksanakan dengan baik bagi menjadikan negeri Perlis sebagai Negeri Bandaraya 2030,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS