Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kerajaan mesti elak Sosma disalah guna sekali lagi

ULASAN | Kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada usaha reformasi undang-undang untuk memastikan salah guna Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 - atau Sosma - dalam dekad lalu tidak berulang lagi.

Sebelum ini ia pernah digunakan untuk menutup skandal rasuah, menyekat kempen pilihan raya yang bebas dan adil, dan untuk menangkap rakyat Malaysia yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Tamil Tigers.

Antara contoh salah guna Sosma dalam dekad yang lepas:

* Penangkapan Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chong, untuk mengelakkan mereka melancarkan kempen antarabangsa bagi mendedahkan skandal 1MDB.

Malah, Khairuddin telah memenangi saman terhadap kerajaan kerana melakukan penahanan tidak sah.

Dia dianugerahkan ganti rugi sebanyak RM300,000 dengan RM50,000 kos.

* Penangkapan bekas Pengerusi Bersih 2.0 dan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, kerana kempen NGO itu mendapatkan pilihan raya yang bebas dan adil.

* Penangkapan bekas Adun DAP dan exco Melaka, G Saminathan, dan Adun DAP Negeri Sembilan, P Gunasekaran, atas dakwaan kononnya mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Kerajaan terdahulu juga mendakwa mereka adalah sebahagian daripada rancangan untuk menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia.

* Sejumlah 33 keluarga di Sungai Petani, Kedah berhadapan dengan kesusahan selepas pencari nafkah dalam keluarga mereka ditangkap melalui Sosma pada 2020.

Dua tahun kemudian, mereka - yang berusia antara 22 ke 60 tahun - masih di bawah tahanan reman sambil menunggu perbicaraan selepas didakwa di bawah peruntukan Kanun Keseksaan.

Kerana salah guna seperti inilah 88 orang ahli parlimen Pakatan Harapan mengundi untuk menentang pelanjutan Subseksyen 4(5) Sosma untuk lima tahun lagi pada Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri ketika itu - yang kini menjadi ketua pembangkang - Hamzah Zainudin, semasa penggulungan perbahasan usul berkenaan bersetuju dengan pandangan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang yang menyatakan bahawa terdapat peruntukan dan klausa tidak adil dalam Sosma.

Hamzah mengatakan kabinet diketuai Dr Mahathir Mohamed bersetuju pada 29 Nov 2019 untuk melakukan pindaan terhadap Sosma.

Hamzah kemudian menjelaskan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob memerlukan lebih banyak masa untuk melaksanakan keputusan kabinet yang dibuat pada 2019 kerana perlu melalukan proses libat urus bersama pemegang taruh, termasuklah polis.

Kini Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu menyelesaikan sesi libat urus yang dimulakan pentadbiran Ismail Sabri dulu dan membentangkan pindaan-pindaan yang perlu ke parlimen pada sidang Dewan Rakyat Feb nanti.

Langkah itu perlu untuk mengelakkan berulangnya lagi amalan salah guna Sosma yang pernah berlaku sebelum ini.


LIM KIT SIANG ialah veteran DAP dan bekas ahli parlimen.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS