Empat puluh lapan jam selepas meletakkan jawatan, Khairuddin Abu Hassan melancarkan serangan keras terhadap pihak yang dirujuknya sebagai “munafik politik”, “parasit” dan “pengkhianat” dalam Parti Pejuang Tanah Air pimpinan Mukhriz Mahathir.

Menyamakan dirinya dengan Hang Jebat, Khairuddin mendakwa pihak itu sentiasa melawan keputusan mesyuarat dan menikam belakang bekas pengerusi Mahathir Mohamad.

Tidak menamakan secara khusus sasarannya itu, Khairuddin bagaimanapun mendedahkan terdapat ketegangan dalaman antara dia dan pihak itu.

“Golongan ‘munafik politik’ ini sedang putar-belitkan cerita dan menuduh kalangan yang menyokong kuat wadah perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai cuba untuk memutuskan hubungan antara seorang bapa dengan anak sendiri kononnya,” katanya.

Mukhriz Mahathir

Dua lagi pemimpin yang dikaitkannya dengannya ialah Ketua Setiausaha Gerakan Tanah Air (GTA) Marzuki Yahya dan setiausaha politik ketika Mahathir menjadi perdana menteri, Abu Bakar Yahya.

GTA adalah gabungan parti-parti Melayu-Islam, termasuk Pejuang.

Khairuddin tidak mendedahkan lanjut butiran berkaitan ketegangan dalaman itu. 

Ketika mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin, dia cuma mendedahkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Mahathir, Mukhriz dan barisan pemimpin GTA

Dia juga berkata perjuangannya bersama parti itu tidak lagi relevan memandangkan Pejuang telah menerima peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusinya.

Khairuddin dan pemimpin Pejuang dan GTA yang dihubungi Malaysiakini rata-rata enggan mengulas lanjut berkaitan apa sebenarnya yang berlaku.

Bagaimanapun, Malaysiakini sebelum ini difahamkan terdapat ketegangan dalaman berpunca daripada hala tuju parti selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Satu sumber berkata terdapat pandangan supaya Pejuang mengambil pendekatan mesra kerajaan baru dengan harapan dapat memasuki pilihan raya negeri tahun depan dengan lebih mudah. 

Satu pihak lagi pula didakwa mahu Pejuang kekal bebas dan dibina semula dari bawah.

Bagaimanapun, dakwaan ini masih dakwaan sebelah pihak dan belum disahkan dengan pihak lain.