Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berdosa besar tak mengundi: Dewan Ulama PAS bela Hadi
Diterbitkan:  Dec 22, 2022 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menganggap seseorang berdosa besar jika tidak mengundi kerana pergi ke Mekah mendapat sokongan daripada dewan ulama parti itu hari ini.

Menurut sayap utama PAS berkenaan, kenyataan Abdul Hadi itu adalah tepat dan perlu dilihat seperti seorang guru yang mendidik anak muridnya.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Ahmad Yahya juga berkata mereka berpandangan kenyataan dibuat Abdul Hadi itu membuktikan betapa beruntungnya rakyat di negara ini hidup dalam masyarakat yang dipimpin oleh "para alim ulama yang mursyid."

Kata Ahmad kenyataan Abdul Hadi semalam bukanlah bertujuan untuk menyangkal keutamaan ibadah umrah, sebaliknya mengutamakan ummah secara menyeluruh.

Tan Sri Tuan Guru Presiden (Abdul Hadi) menulis menyampaikan teguran ibarat seorang guru yang mendidik anak muridnya.

"Pedih untuk diterima tetapi begitulah hakikatnya. Tiada siapa boleh mengubah prinsip keutamaan yang digariskan oleh syarak," katanya.

Abdul Hadi Awang

Semalam Abdul Hadi membuat kenyataan dengan menganggap seseorang yang ke Tanah Suci dengan meninggalkan pilihan raya sebagai berdosa besar.

Ahli parlimen Marang itu juga mengaitkan hujahnya dengan suasana perang dan menggambarkan bahawa Islam di negara ini sedang diancam oleh pihak tertentu.

Seperti selalu dia turut mengaitkan kenyataan politiknya dengan DAP dan suasana pilihan raya yang didakwanya membabitkan penyertaan besar-besaran orang bukan Islam berbanding orang Islam.

"Kira-kira 98 peratus orang bukan Islam dari seluruh negara dan pelusuk dunia yang jauh dikerah untuk mara mengundi bagi mendapatkan kuasa dalam tanah air kita ini dengan menyokong DAP dan kumpulannya yang menjadi wadah perjuangannya, walaupun mereka mengeluarkan belanja sendiri.

"Malangnya, orang Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus," kata Abdul Hadi.

Ajak semua orang bermuhasabah

Dalam pesanannya itu juga dia memulakannya dengan memetik ayat al-Quran mengenai amaran seksaan terhadap orang Islam yang enggan "berjuang" serta kemungkinan mereka akan digantikan dengan kaum yang lain, Abdul Hadi berkata Rasulullah SAW mendahulukan asas memelihara agama dengan menjadikan ia satu kewajipan.

Bagaimanapun seorang saintis data, Thevesh Theva, berpendapat keadaan pada PRU lalu adalah sebaliknya.

Merujuk kepada data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dia berkata, tiada pecahan pengundi mengikut kaum dikeluarkan oleh badan tersebut.

"Kehadiran pengundi mengikut kaum tidak tersedia, jadi satu-satunya cara anda boleh 'menduga' bilangan (pengundi mengikut kaum) adalah dengan melihat kerusi," ciapnya di Twitter.

Dia juga mempertikaikan dakwaan Abdul Hadi bahawa lebih ramai orang bukan Islam mengundi dengan melihat kepada Terengganu sendiri yang didiami majoriti penduduk Melayu/Islam.

Di situ, katanya, kadar peratusan orang keluar mengundi ialah sebanyak 80.2 peratus dan tertinggi bagi sebuah negeri di negara ini.

Peratusan keluar mengundi di kerusi Marang juga pada 82.8 peratus dan - menurut Thevesh lagi - yang ketujuh tertinggi di negara ini.

Ahmad berkata keperluan menunaikan tanggungjawab mengundi juga besar dalam negara ini dan ia dibuat berdasarkan kepada dua maslahah (kebaikan) iaitu bersifat individu mahupun ummah.

Justeru Ahmad yang juga ahli parlimen Pokok Sena menyeru supaya semua pihak bermuhasabah melihat kenyataan Abdul Hadi itu dari sudut pandang positif.

“Perkara ini telah menjadi tanggungjawab Tan Sri Tuan Guru (Abdul Hadi) dalam menyampaikan sesuatu yang hak dan memandu kita semua dalam pandangan syarak yang betul,” katanya.

Bagaimanapun untuk rekod kenyataan Ahmad itu hanya merujuk kepada individu yang ingin mengerjakan umrah, dan tidak menyentuh kepada bakal jemaah haji.

Lihat Komen
ADS