Permohonan kembalikan saman terhadap Hadi didengar April 2023
Dua penganut Kristian dari Sabah berpeluang mengembalikan saman mereka terhadap Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan presiden PAS itu yang didakwa berunsur hasutan terhadap penganut agama itu.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 4 April 2023 untuk mendengar permohonan Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian bagi kebenaran merayu untuk mengembalikan semula saman terhadap Ahli Parlimen Marang itu.
Peguam kedua-dua perayu, Marcus Lim mengesahkan tarikh pendengaran ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.
"Perbicaraan di Mahkamah Persekutuan untuk kebenaran (merayu) ditetapkan pada 4 April 2023," kata peguam itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Hadi, Yusfarizal Yussof turut mengesahkan tarikh pendengaran dan memaklumkan prosiding akan dijalankan secara dalam talian untuk mendengar hujah daripada kedua-dua perayu dan responden (Hadi).
Pada 7 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Abdul Hadi untuk membatalkan saman sivil berkenaan.
Defendan berusaha membatalkan saman tersebut atas alasan bahawa ia remeh, menyusahkan, dan penyalahgunaan proses mahkamah.
Pada 16 Ogos tahun ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan kedua-dua rakyat Sabah itu untuk mengembalikan semula saman tersebut.
Kedua-dua mereka kemudian membawa kes itu mahkamah persekutuan.
Pada 9 Dis 2020, dua rakyat Sabah itu memfailkan saman berhubung kenyataan Abdul Hadi yang disiarkan dalam organ parti PAS, Harakah pada 18 Jan 2016.
Kedua-duanya mendakwa kenyataan itu kemudiannya dilaporkan oleh portal berita dalam talian, Free Malaysia Today pada hari yang sama.
Mereka memohon pengisytiharan bahawa Abdul Hadi telah melakukan perbuatan menghasut yang bertentangan dengan Seksyen 3 Akta Hasutan 1948.
Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa defendan tidak layak untuk memegang sebarang jawatan dalam kerajaan Malaysia, termasuk jawatan yang setara dengan jawatan menteri.
Pada 2 April 2020, Abdul Hadi dilapor dilantik sebagai utusan khas ke Timur Tengah berpangkat menteri. Pelantikan itu dibuat selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan pembentukan kerajaan PN pada masa itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/7d1766fa7f3f0ca54df9713bd347d4b8.jpg)
