Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan Jazlan ditangguh untuk penyelarasan menyeluruh
Diterbitkan:  Dec 24, 2022 4:18 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberitahu penangguhan pelantikan bekas ahli parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakob untuk menjadi pengerusi Felcra adalah sebahagian daripada penyelarasan kerajaan.

Bahkan kata timbalan perdana menteri itu penyelarasan tersebut bukan hanya terhad kepada satu jawatan saja bahkan lebih meluas membabitkan semua badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“(Keputusan) Itu telah dibuat berdasarkan penyelarasan kepada semua badan-badan berkanun, GLC (manakala) (serta) di bawah kementerian-kementerian dan juga di bawah agensi-agensi," katanya.

Tambah ahli parlimen Bagan Datuk itu lagi, pengumuman mengenai pelantikan selepas penyelarasan tersebut akan dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis makan tengah hari bagi menyambut pembentukan kerajaan perpaduan di Shah Alam, Selangor hari ini.

Pada 15 Dis lalu Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan kontrak semua pegawai lantikan politik dalam agensi dan badan berkaitan kerajaan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

Sehari kemudian Mohd Zuki berkata, penamatan tersebut adalah perkara biasa yang dilakukan apabila sesebuah kerajaan bertukar.

Bagaimanapun pada 17 Dis Ahmad Zahid mengumumkan Ahmad Jazlan Yaakub akan dilantik semula sebagai pengerusi Felcra selepas kerajaan mengambil kira pandangan perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad.

Empat hari kemudian Anwar mengumumkan pelantikan tersebut ditangguhkan.

Sementara itu, dalam ucapannya hari ini, Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Ramesh Rao sebagai pegawai khas kepada menteri yang mengendalikan hal ehwal masyarakat India di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS