Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin k'jaan gesa perpaduan, tolak ekstremisme dalam ucapan Krismas

Usaha membenih dan menyemai budaya perpaduan tidak hanya terletak di bahu pemerintah sebaliknya setiap rakyat mesti memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sebarang mesej atau seruan berbaur kebencian dan cubaan untuk mengapi-apikan perbedaan juga harus dibenam dengan sikap kasih sayang serta rahmah.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajiban setiap kita untuk mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahmi antara rakyat dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka.

"Selamat Menyambut Hari Krismas kepada masyarakat beragama Kristian. Hari Krismas atau Hari Natal adalah hari besar buat penganut Kristian dan mereka meraikannya dengan keluarga dan sahabat setiap tahun,” katanya dalam perutusan Hari Krismas 2022 di Facebooknya malam tadi.

Perdana menteri turut berharap sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah serta dapat membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada Malaysia terbilang dan rakyatnya yang cintakan keadilan.

Dia juga menasihatkan mereka yang pulang ke kampung halaman agar berwaspada dan berhati-hati di jalan raya.

Hari Krismas disambut pada 25 Dis setiap tahun oleh penganut Kristian.

GPS: Terus pertahan kebebasan beragama, tolak ekstremisme

Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memelihara kebebasan beragama dan menolak unsur ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri itu.

Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata Sarawak sememangnya terkenal dengan masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama, namun tidak menghadapi masalah untuk bersatu dalam kepelbagaian.

Katanya di Bumi Kenyalang juga terdapat keluarga beragama Kristian dan Islam yang boleh hidup di bawah satu bumbung tanpa menghadapi sebarang masalah.

“Kita di Sarawak bertuah kerana agak terlindung daripada persengketaan agama dan kaum yang sering berlaku di tempat-tempat lain.

“Kuasa autonomi imigresen kita mampu menyekat pelampau-pelampau agama untuk menjejakkan kaki di Sarawak,” katanya dalam perutusan Hari Krismas 2022 hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak tidak kalis sepenuhnya daripada unsur-unsur ekstremisme yang memasuki negeri itu melalui saluran siber seperti media sosial yang biasanya digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Benteng kita daripada anasir ini hanyalah kebijaksanaan kita sendiri untuk menapis yang baik daripada yang jahat dan yang fakta daripada yang auta,” katanya.

Abang Johari turut memberi komitmen bahawa GPS akan terus memperjuangkan kepentingan dan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pembentukan GPS merupakan langkah baik untuk memastikan suara Sarawak tidak tenggelam di persada nasional. Tidak ada orang lain yang lebih ikhlas daripada orang Sarawak sendiri dalam perjuangan menegakkan keadilan bagi Bumi Kenyalang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus bekerja dan menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka untuk negara biarpun dalam musim perayaan.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang terus bekerja memastikan negara terus bergerak ke hadapan ketika kebanyakan daripada kita bercuti, mereka pihak polis, agensi kerajaaan, pekerja syarikat kereta api, pemandu teksi dan e-haling serta penghantar p-hailing. Terima kasih kerana pengorbanan anda,” katanya dan pada masa yang sama mengingatkan rakyat Malaysia supaya menunjukkan simpati dan membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang pula menyeru agar rakyat Malaysia merebut peluang sempena sambutan perayaan ini bagi menyebarkan mesej kebersamaan dan persefahaman sekali gus, meraikan kepelbagaian dalam negara.

Turut mengucapkan Selamat Hari Krismas ialah Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS