Kesan pukulan dan cucuhan benda panas adalah antara kecederaan teruk dialami kanak-kanak lelaki empat tahun yang meninggal dunia, dipercayai akibat didera di Johor Bahru.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata hasil pemeriksaan awal, terdapat kesan kecederaan teruk hampir di seluruh badan kanak-kanak berkenaan yang meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) petang semalam.

“Pemeriksaan terhadap jenazah amat mendukacitakan dan menyedihkan kerana hampir seluruh badan terdapat kecederaan daripada kepala sampai kaki.

“Kesan kecederaan mungkin akibat dipukul dan dicucuh sama ada api atau benda yang panas di seluruh badan termasuk atas kemaluan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik HSI hari ini.

Kamarul Zaman berkata mangsa yang juga anak bongsu daripada 11 beradik itu menjalani rawatan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 23 Dis sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.40 petang semalam.

Katanya kesan kecederaan yang dikenal pasti itu adalah kecederaan baru serta lama dan polis masih menunggu hasil bedah siasat ke atas mangsa terbabit.

Mengulas lanjut, dia berkata mangsa dijaga kakaknya yang juga anak ketiga dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas kedua-dua ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kes dadah Sept lalu.

Mangsa tak bermaya

Katanya mangsa kemudian diserahkan kepada rakan kakaknya yang sempat menjaga kira-kira dua minggu sebelum suami kepada wanita terbabit (pengadu) menyedari kanak-kanak berkenaan pengsan di rumah mereka di Senggarang, Batu Pahat.

Budak itu kemudian dibawa ke klinik untuk rawatan.

“Rakan kepada kakak mangsa merasakan bahawa kakak mangsa tidak mampu hendak jaga, jadi dia cadangkan agar beri dia jaga.

“Apabila (mangsa) dibawa kepada pengadu, dia melihat mangsa dalam keadaan tidak bermaya, sakit dan dibawa ke hospital yang kemudian dinasihatkan oleh doktor untuk buat laporan polis,” katanya.

Kamarul Zaman menjelaskan setakat ini, lima individu berusia 15 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Mereka termasuklah kakak mangsa yang berusia 19 tahun dan suami kakaknya berusia 37 tahun.

Katanya jenazah mangsa akan diserahkan kepada waris yang disahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setelah selesai proses bedah siasat.

Kamarul Zaman berkata kesemua yang ditahan, direman tujuh hari bermula Ahad (25 Dis) sehingga Sabtu (31 Dis) dan kes yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Bernama