Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lapor pada Mavcom jika tak puas hati pampasan gangguan penerbangan - Menteri

Penumpang yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang ditawarkan syarikat penerbangan sekiranya berlaku sebarang gangguan pada jadual penerbangan mereka boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan promosi Tahun Baru Cina tambang tetap Air Asia di ibu pejabat RedQnya, Loke berkata dia tidak pasti sama ada bayaran balik tunai adalah sebahagian daripada pampasan yang ditawarkan oleh pengendali penerbangan.

"Kita mempunyai sistem yang sedia ada. Kita mempunyai pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal ini. Jadi Mavcom adalah saluran dan platform yang tepat untuk mereka membuat aduan.

"Pejabat menteri bukan biro aduan. Saya tidak boleh uruskan setiap aduan, jadi jika ada sebarang aduan tertentu sudah tentu mereka boleh membuat aduan kepada Mavcom," katanya.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penumpang yang tidak berpuas hati dengan mekanisme pampasan sedia ada, termasuk oleh Air Asia, yang tidak menawarkan pilihan tunai untuk penerbangan yang dibatalkan dan tuntutan yang tidak diselesaikan sejak lebih dua tahun lalu disebabkan penutupan sempadan Covid-19.

Loke semalam mengarahkan Batik Air memohon maaf selepas penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak, pada Jumaat tertangguh selama lebih lapan jam dan penumpang yang tidak berpuas hati yang terkandas di KLIA mengadu tiada komunikasi atau bantuan yang ditawarkan oleh kakitangan syarikat penerbangan itu.

'Penerbangan dilencongkan ke Langkawi'

Loke berkata walaupun tiada alasan untuk perkhidmatan yang buruk, penerbangan Batik Air khususnya berdepan cuaca buruk ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan terpaksa mendarat di Langkawi, Kedah.

“Sudah tentu kita berharap kelewatan dapat diminimumkan tetapi beberapa kelewatan ini disebabkan oleh keadaan cuaca buruk seperti insiden membabitkan Batik Air.

"Saya diberi laporan penuh. Pesawat itu terpaksa melencong ke Langkawi, dan sebaik tiba di Langkawi juruterbang telah melepasi waktu penerbangan mereka," katanya.

“Jadi satu set kru baru perlu diterbangkan ke Langkawi, justeru penangguhan beberapa jam.

"Sudah tentu ini bukan alasan tetapi saya hanya mengatakan dari segi keadaan syarikat penerbangan itu beroperasi," kata Loke.

"Tetapi kita berharap dari segi pengendalian komunikasi dan penerbangan tertangguh, ia boleh menjadi lebih baik pada masa hadapan," tambahnya.

Lihat Komen
ADS