Anggota parlimen lantang DAP RSN Rayer mengesa supaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak digunakan sehingga sesi libat urus antara kerajaan dan pihak berkepentingan diadakan.

Wakil rakyat Jelutong juga menuntut supaya tahanan sedia ada dibebaskan dengan serta-merta sementara menunggu sesi itu.

“Akhir sekali saya berharap bahawa sementara menunggu sesi libat urus ini diadakan semua tahanan bawah Sosma perlu dihentikan dengan serta-merta dan mana-mana individu yang telah pun ditahan sekarang bawah undang-undang ini perlu dibebaskan dengan serta-merta sementara menunggu sesi libat urus ini diadakan,” katanya.

Timbalan menteri undang-undang Ramkarpal Singh pada 23 Disember lepas berkata kerajaan setuju untuk meneliti beberapa peruntukan dalam Sosma.

Saifudin Nasution Ismail

Katanya, Saifuddin setuju dengan cadangan untuk melakukan libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk pegawai Kementerian Dalam Negeri dan polis.

Dalam kenyataan hari ini, Rayer berkata dia mengalu-alukan keputusan Menteri Dalam Negeri Saifudin Nasution Ismail untuk mengadakan sesi itu bagi mengkaji semula akta yang menerima kritikan meluas itu.

“Saya berharap bahawa sesi libat urus ini akan diadakan dengan segera,” katanya.

“Saya juga berharap bahawa peguam-peguam yang terlibat dalam mengendalikan perbicaraan kes-kes Sosma yang sedang dibicarakan di mahkamah sekarang akan turut dijemput dalam sesi libat urus ini.”

Secara khusus, dia melihat terdapat dua peruntukan yang perlu dikaji semula,  iaitu Seksyen 13 berkaitan had jaminan dan  Seksyen 4(5) berkaitan kebenaran tahanan 28 hari  tanpa keperluan dibawa ke hadapan majistret.

Sebelum itu, tiga anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) termasuk V Ganabatirau dari DAP menyerahkan memorandum kepada Saifuddin bagi menggesa undang-undang itu disemak semula dan agar tahanannya dibenarkan ikat jamin.

Antara yang hadir ketika penyerahan memorandum di luar Parlimen itu adalah keluarga 57 individu yang didakwa anggota "Geng Sakai" dan "Geng 08 GST" yang ditahan di Penjara Sungai Buloh sejak Jun 2021 dan 2022.

Pihak keluarga antara lain meminta Saifuddin menyemak semula peruntukan dalam akta tersebut, yang disifatkan tidak adil dan bertentangan dengan perlembagaan.

Ganabatirau pernah ditahan tanpa bicara selama 455 hari bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini telah dimansuhkan.

Sosma digubal bagi menggantikan ISA.s