Ada ahli politik yang tidak setuju dengan cadangan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik agar ahli akademik dilantik sebagai menteri pendidikan dan pengajian tinggi selepas PRU16.

Aantaranya ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Puad Zarkashi yang menyifatkan ahli akademik tidak semestinya merupakan kalangan yang paling sesuai memimpin kementerian itu.

"Kalau orang akademik tetapi tidak ada tekad politik pun tak guna juga. Apa yang penting idea dan komitmen," katanya di Facebook.

Puad menjadikan Maszlee sendiri sebagai contoh yang merupakan pensyarah sebelum dilantik sebagai menteri pendidikan, serta Tengku Zafrul Abdul Aziz yang merupakan ahli perbankan sebelum menjadi menteri kewangan.

"Ada orang bukan politik seperti ahli akademik dan banker bila jadi menteri, dia lagi kuat main politik," katanya.

Maszlee Malik

Puad turut menyuarakan harapan agar menteri pendidikan baru, Fadhlina Sidek akan cepat belajar berkenaan struktur dan isu utama pendidikan.

Semalam, Maszlee ketika membuat cadangan itu berkata ia bagi membolehkan kebebasan akademik dipertahan.

“Biar orang dalam (bidang) pendidikan sendiri, orang yang tahu isi hati dan hala tuju,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy turut juga berkata ahli akadamik tidak semestinya akan menjadi menteri pendidikan dan menteri pengajian tinggi yang lebih baik.

"Maszlee mungkin betul secara umumnya bila berkata ahli akademik perlu dipertimbang memegang jawatan itu kerana mereka ada kecenderungan akademik, namun tidak semestinya begitu.

"Pada masa sama, tidak boleh juga ada tanggapan ahli palitik dan orang bukan akademik akan mengetuai kementerian itu dengan lebih baik," katanya, membangkitkan tempoh Maszlee sebagai menteri pendidikan selepas PRU 2018.

Ramasamy juga setuju dengan Puad berkenaan kualiti utama yang perlu ada bagi seorang menteri pendidikan.

Ia termasuklah tekad politik, pemahaman berkenaan cabaran dalam pendidikan dan pelaksanaan reformasi bagi memastikan "bidang akademik selari dengan kemajuan negara".